November 25, 2024

Search
Close this search box.

JOHOR BAHRU, 28 Mac – Sebanyak 470 bungkus makanan telah didermakan oleh Persatuan Pelajar Antarabangsa Universiti Teknologi Malaysia (ISSUTM) dari Iraq kepada mahasiswa dan kakitangan universiti.

Sumbangan yang berupa makan tengahari itu diberikan bagi meringankan beban kepada kakitangan dan mahasiswa yang terkesan dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang diisytiharkan oleh kerajaan bagi mengekang penularan wabak Covid-19.

Penolong Pengarah Global Experience UTM International, Prof. Madya Dr. Ariffin Abu Hassan berkata jumlah yang didermakan adalah untuk dua hari iaitu pada 27 dan 28 Mac 2020.

“Program kebajikan ini adalah hasil kolaborasi antara ISSUTM (Iraq) dan juga Restoran Makanan Arab Belad yang terletak di Taman Universiti, Skudai.

Sebanyak 270 bungkus makanan telah dihantar pada hari pertama, di mana 150 bungkus telah dihantar ke Kolej Dato Onn Jaafar (KDOJ), 100 kepada Kolej Perdana dan sebanyak 20 bungkus ke Bahagian Keselamatan UTM,” katanya.

Dr. Ariffin berkata sebanyak 200 bungkus telah diterima pada hari kedua dengan sebanyak 100 bungkus dihantar ke Kolej Perdana, 70 bungkus ke KDOJ, 10 bungkus ke bahagian keselamatan UTM manakala baki 20 lagi dihantar kepada pelajar yang menyewa di blok Melana dan Melawis di Taman Universiti,” katanya.

Kesemua sumbangan ini telah diterima oleh Dr. Ariffin yang mewakili UTM dan diserahkan oleh Presiden ISSUTM (Iraq), Zaid Al-Saffar.

Memberikan respon tentang sumbangan ini, Dr. Ariffin berkata sumbangan ini jelas menunjukkan golongan pelajar antarabangsa amat prihatin dengan tanggungjawap besar yang dimainkan oleh UTM dalam tempoh PKP ini.

“Kami amat berbesar hati dengan sumbangan yang diberikan dan mengucapkan ribuan terima kasih dengan inisiatif yg diambil oleh ISS IRAQ ini.

Mewakili komuniti UTM, saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih di atas usaha yang murni ini. Semoga langkah seperti ini diikuti oleh semua pihak dalam memberikan sumbangan kepada yang memerlukan,” katanya lagi.

Zaid Al-Saffar (tengah) bersama ahli persatuan ISSUTM (Iraq) mengambil makanan yang baru siap di Taman Universiti untuk diedarkan kepada warga UTM Johor Bahru.
Zaid Al-Saffar (kanan) menyerahkan makanan untuk disumbangkan kepada mahasiswa dan kakitangan UTM kepada Pengetua Kolej Perdana UTM, Dr. Syamsul Hendra Mahmud.

Explore More