Disember 19, 2024

TNCP dan HEP Bekerjasama Koordinasi Penyediaan Makanan 3,300 mahasiswa

JOHOR BAHRU, 28 Mac – Seramai enam orang kakitangan Bahagian Pembangunan Perniagaan (BMD) Jabatan Timbalan Naib Canselor Pembangunan (JTNCP) dengan kerjasama Majlis Pengetua & Institusi Pembangunan Felo, Jabatan Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar), Universiti Teknologi Malaysia (UTM) telah diberikan peranan untuk mengkoordinasikan penyediaan makanan bagi 3,300 orang mahasiswa.

Pengarah BMD, Prof. Sr. Dr Hishamuddin Mohd Ali berkata BMD berperanan untuk mengkoordinasi penyediaan makanan bagi 3,300 orang pelajar yang masih tinggal di kolej-kolej kediaman pelajar di Kampus UTM Johor Bahru.

“Cabaran utama ialah untuk memastikan makanan pelajar dapat disediakan pada waktu yang tepat, tiga kali sehari dan memastikan kualiti makanan yang diagihkan terjaga.

Kualiti makanan mestilah mematuhi Akta Makanan 1983 dan Peraturan-peraturan Kebersihan Makanan 2009.

Kami juga berusaha untuk memastikan semua pengusaha makanan dan kedai serbaneka mendapat manfaat walaupun dalam keadaan krisis begini,” katanya lagi.

Prof. Hishamuddin berkata koordinasi penyediaan makanan bersama pengusaha makanan perlu juga dilaksanakan dengan adil supaya kesemua 20 pengusaha dapat dilibatkan dalam penyediaan makanan.

“Staf BMD yang aktif di barisan hadapan dalam penyediaan makanan ini hanya enam orang dan bertugas setiap hari bagi membolehkan proses penyediaan makanan ini dapat dilaksanakan dengan cekap.

Kami juga berharap pasukan BMD dapat bekerja sebagai sebuah pasukan yang kuat bersama-sama dengan Jabatan Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar (JTNCHEP) dan semua pasukan lain yang terlibat secara langsung,” katanya lagi.

BMD diletakkan di bawah JTNCP dan berperanan menguruskan pengoperasian aset UTM seperti ruang bangunan, penginapan pelajar dan staf, arked-arked perniagaan untuk pelajar dan staf, kemudahan sukan dan rekreasi dan tanah.

Bahagian ini juga berusaha untuk mengoptimumkan pendapatan melalui pengkomersilan aset ke arah mempertingkatkan kelestarian kewangan dan nilai aset yang lebih baik.

Para mahasiswa beratur untuk mendapatkan bekalan makanan di salah sebuah kolej kediaman mahasiswa UTM Johor Bahru.
Para petugas membantu kontraktor pembekalan makan dalam menyediakan makanan berbungkus bagi diagihkan kepada mahasiswa.

Antara makanan yang akan diagihkan kepada mahasiswa yang tinggal di kolej-kolej kediaman UTM Johor Bahru
Prof. Hishamuddin (dua kanan) bersama sebahagian dari kakitangan BMD yang bertugas menyelaraskan penyediaan makanan mahasiswa.

Explore More