April 17, 2024

Search
Close this search box.

JOHOR BAHRU, 30 Mac – Universiti Teknologi Malaysia (UTM) hari ini menerima sumbangan bernilai RM 10,000.00 daripada Masjid Jamek Bandar Baru Uda (MJBBU) ke Tabung Khas COVID-19 UTM.

Sumbangan ini sekaligus menjadikan jumlah keseluruhan Tabung Covid UTM mencatatkan sebanyak RM192,000.00 (sehingga artikel ini ditulis).

Pengerusi Tabung Covid-19 UTM, Prof. Dr Mohd Zaki Kamsah berkata objektif penubuhan tabung ini adalah bagi memastikan kebajikan lebih 3000 orang pelajar yang tinggal di kampus terjaga.

“Dana ini kami gunakan untuk membayar secara tunai kepada 20 pembekal makanan yang dilantik bagi menyediakan makanan kepada 3,000 orang mahasiswa tiga kali sehari iaitu pagi, tengah hari dan malam.

Prof. Zaki berkata penyediaan makanan ini adalah penting bagi memastikan mahasiswa yang tinggal di kolej-kolej kediaman tidak keluar membeli makanan di luar kampus sekaligus mendedahkan mereka kepada risiko jangkitan wabak Covid-19 ini.

“Selain mahasiswa, dana ini juga kami gunakan untuk menyediakan peralatan sokongan kepada staf universiti yang terpaksa bertugas di sepanjang cuti khas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Antara peralatan yang dibeli menggunakan peruntukan tabung ini adalah topeng muka,sarung tangan dan juga pencuci tangan (hand sanitizer) untuk diberikan kepada staf di bahagian keselamatan, staf perubatan dan juga kakitangan di Hal Ehwal Pelajar (HEP) yang bertugas mengurus pelajar sepanjang cuti khas PKP ini,” katanya lagi.

Prof. Zaki berkata tabung ini akan diaktifkan sehingga tamat tempoh PKP seperti yang dijadualkan iaitu 14 April 2020.

“Kami sentiasa terbuka bagi menerima sumbangan dari mana-mana pihak untuk mengisi tabung ini bagi faedah semua secara berterusan.

Mana-mana pihak yang berminat untuk menghulurkan sumbangan bolehlah menghulurkannya melalui akaun diatas nama Universiti Teknologi Malaysia (UTM) di AmBank Islamic dengan no akaunnya 8881020983100.

“Setiap penyumbang yang menyumbang akan diberikan pengecualian cukai atas derma yang disalurkan di bawah Sub Seksyen 44 (6) Akta Cukai Pendapatan 1967,” katanya lagi.

Tabung COVID-19 UTM ini dilancarkan pada 18 Mac lalu sebagai sebahagian dari usaha universiti membantu mahasiswa dan kakitangannya yang terkesan ekoran wabak itu.

Naib Canselor UTM, Prof. Datuk Ir. Dr Wahid Omar memantau pengedaran makanan kepada mahasiswa di kolej kediaman pelajar UTM Johor Bahru.
Antara juadah yang disediakan untuk diedar kepada mahasiswa yang tinggal di kolej kediaman pelajar UTM Johor Bahru.

Pakaian khas petugas di Pusat Kesihatan UTM sepanjang cuti khas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Covid-19 UTM Johor Bahru.

Explore More