Seramai 50 orang pelajar SBEW2443 Perancangan Luar Bandar dan Wilayah, Fakulti Alam Bina dan Ukur, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) telah menabur bakti menyantuni komuniti luar bandar di sekitar Kampung Mawai Baru, Kota Tinggi.

Program khidmat masyarakat, University Social Responbility (USR) yang dikenali sebagai USR-Menabur Bakti di Sekolah Kebangsaan Mawai, Kota Tinggi tersebut merupakan anjuran Jabatan Pendaftar UTM dengan kerjasama pelbagai PTJ lain iaitu Pejabat Hal Ehwal Pelajar UTM, Pusat Kaunseling UTM, Pejabat Hal Ehwal Korporat UTM, Jabatan Harta Bina UTM, Perpustakaan UTM, Pusat Kesihatan UTM, Bahagian Keselamatan UTM, Program Perancangan Bandar dan Wilayah UTM dan MPKK.

Program yang telah dianjurkan pada 23 Februari 2020 lalu telah melibatkan penyertaan sehingga 150 orang peserta yang terdiri daripada staf serta pelajar tempatan dan antarabangsa UTM.

Dalam program tersebut sebanyak 10 aktiviti utama dianjurkan oleh pihak UTM antara lain adalah program berasaskan motivasi, kesedaran kesihatan, penyampaian bantuan, kenduri muhibah dan sebagainya.

Pihak Program Perancangan Bandar dan Wilayah UTM telah diberi kepercayaan untuk melaksanakan ‘Kajian Pembangunan Desa Luar Bandar’ di sekitar Kampung Mawai Baru.

Kajian tersebut merangkumi penyediaan rangka kerja hala tuju pembangunan sosio-ekonomi luar bandar penduduk Kampung Mawai Baru. Kajian tersebut diketuai oleh Dr. Noor Aimran Samsudin, Pensyarah Kanan, Program Perancangan Bandar dan Wilayah (PBW) UTM yang juga merupakan pensyarah kepada kursus SBEW2443.

Para pelajar telah dibahagikan kepada dua kumpulan utama yang mana sebahagiannya terlibat dengan khidmat komuniti mengindahkan dan mengecat persekitaran Sekolah Agama Mawai. Pasukan pelajar PBW telah disambut oleh Guru Besar dan pihak pengurusan sekolah yang turut menyatakan penghargaan mereka atas usaha para pelajar membantu mengindahkan persekitaran sekolah.

Manakala sebahagian lagi pelajar mengumpul data profil sosio-ekonomi penduduk melalui kajian soal selidik di lapangan di sekitar kejiranan tersebut.

Para pelajar dijangka akan menghasilkan beberapa set laporan halatuju, pelan tindakan dan cadangan pembangunan sosio-ekonomi yang akan digunakan oleh Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Kampung Mawai Baru pada penghujung semester pengajian sebagai sebahagian panduan perancangan pembangunan kejiranan tersebut.

Penglibatan pelajar dalam program tersebut merupakan sebahagian proses pelaksanaan Pembelajaran Aktif bagi kursus SBEW2443 di bawah kategori Service Learning atau Community Based-Learning.

Gambar kenang-kenangan bersama tenaga pengajar dan pentadbir di Sekolah Agama Mawai

Sebahagian pasukan kajian di rumah responden mengumpul data melaui kajian soal selidik

Hasil kerja sebahagian pasukan pelajar PBW di Sekolah Kebangsaan Mawai Baru

Laporan disediakan oleh :-

Dr. Noor Aimran bin Samsudin

Pensyarah Kanan

Program Perancangan Bandar dan Wilayah

Fakulti Alam Bina dan Ukur UTM