JOHOR BAHRU, Mac – Kemahiran insaniah kini menjadi asas pertimbangan utama bagi setiap majikan dalam menjalankan pengambilan pekerja bagi berkhidmat dengan organisasi mereka. Graduan universiti yang berhasrat untuk mendapat pekerjaan di alaf yang serba mencabar ini haruslah mempunyai beberapa kriteria tambahan dan tidak hanya bergantung kepada skrol ijazah semata-mata.

Pengarah Huawei Cloud & Artificial Intelligence bagi Kawasan Pasifik Selatan, Lim Chee Siong berkata graduan masa kini seharusnya menggunakan setiap masa yang ada untuk mengasah segala bakat dan kemahiran bagi persediaan menceburi alam pekerjaan kelak.

“Majikan di masa kini amatlah selektif dalam memilih pekerja kerana mereka mahukan individu yang berkualiti, bersinergi dan berinovasi. Oleh yang demikian para mahasiswa dinasihatkan untuk menggunakan segala peluang yang ada bagi mempertajamkan lagi kemahiran insaniah ini,” katanya lagi.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri perasmian program ‘2020 Huawei Connected Campus’ yang telah disempurnakan pelancarannya oleh Naib Canselor UTM, Prof. Datuk Ir. Dr. Wahid Omar di Dewan Sultan Iskandar, kampus Johor Bahru.

Turut hadir adalah Pengarah Pusat Kerjaya UTM, Prof. Madya Dr. Othman Ibrahim, Dekan Fakulti Kejuruteraan, Prof. Dato’ Ir. Dr. Mohammed Rafiq Dato’ Abdul Kadir dan Pengarah Kanan Pembangunan Bakat Huawei Zon Pasifik Selatan, Emily Peh.

Program ini adalah anjuran secara kolaborasi di antara Huawei dengan Sekolah Komputeran dan Pusat Kerjaya UTM sebagai penganjur utama.

Menyasarkan untuk merekrut 300 bakal graduan sebagai bakal tenaga kerjanya, ia juga dijalankan bertujuan untuk mencari bakal graduan yang bersifat ingin tahu, berwawasan dan serba boleh agar dapat menyumbang kepada perkembangan teknologi terutamanya bidang 5G.

Lee berkata bahawa program ini dilihat amat bertepatan dengan situasi kebolehpasaran graduan yang menuntut bakal graduan bersaing antara satu sama lainnya di samping bakal membantu dalam meningkatkan peratus kebolehpasaran graduan di negara ini.

“Pemilihan UTM sebagai salah sebuah lokasi menunjukkan graduan universiti ini menepati kehendak pasaran kerjaya khususnya yang berpaksikan teknologi Revolusi Industri (IR) 4.0 agar dapat berkhidmat kepada Huawei mengikut bidang akademik masing-masing.

“Ia juga sebagai meraikan kerjasama antara Huawei dan UTM di samping menyediakan platform yang kondusif dan inovatif untuk mempupuk aktiviti akademik dan penyelelidikan, latihan dan pembelajaran kepada kedua-dua pihak selaras dengan aspirasi UTM sebagai universiti penyelidikan, keusahawanan dan global,” katanya.

Pelbagai acara menarik telah disediakan oleh penganjur seperti segmen penerangan prospek kerjaya dan juga sesi pengambilan kakitangan yang dibuka khas bagi mahasiswa tahun akhir UTM kendalian wakil Jabatan Sumber Manusia dari Huawei.

Lim Chee Siong memberikan penerangan ringkas mengenai latar belakang dan ekosistem bagi membina kerjaya bersama dengan Huawei Malaysia Sdn Bhd