April 19, 2024

Search
Close this search box.

JOHOR BAHRU, 30 Mac — Seramai 40 orang mahasiswa jurusan Ukur Bahan dan Pembinaan, Jabatan Ukur Bahan, Fakulti Alam Bina dan Ukur (FABU) Universiti Teknologi Malaysia (UTM) telah menerima bantuan makanan tambahan sumbangan kakitangan fakulti itu.

Bantuan yang dihululurkan ialah makanan tambahan seperti biskut, mee segera, minuman coklat berkhasiat dan juga cereal.

Pensyarah Jabatan Ukur Bahan, FABU,  Dr Syamsul Hendra Mahmud berkata matlamat utama aktiviti ini dijalankan adalah untuk membantu pelajar-pelajar Ukur Bahan dan Pembinaan di bawah Jabatan Ukur Bahan fakulti ini yang tidak dapat pulang ke kampung sewaktu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) untuk mendapatkan makanan tambahan yang berkhasiat.

“Selain membantu mengurangkan tekanan yang dihadapai oleh pelajar ekoran dari PKP ini, kami juga berhasrat untuk bertanya khabar dan memenuhi keperluan khusus mereka sekiranya ada.

Adalah penting bagi golongan pensyarah memberikan sokongan moral yang berterusan bagi mengekalkan semangat juang yang tinggi di kalangan pelajar dan juga bagi mengelakkan tekanan mental yang boleh merosakkan ‘mood’ belajar bagi seseorang penuntut itu,” katanya lagi.

Dr. Syamsul berkata pengedaran makanan dilakukan melalui kaunter edaran yang dibuka di hadapan pintu utama FABU kampus Johor Bahru.

“Kami membuka kaunter edaran itu dari pagi hinggalah ke petang dan pelajar berkenaan bolehlah datang untuk mengambil makanan yang disediakan. Selain itu, kami juga mengambil kesempatan untuk bertanyakan khabar setiap pelajar yang datang ke sini.

Diharapkan sumbangan ini dapat melegakan sedikit sebanyak kesusahan yang dihadapi oleh pelajar,” katanya lagi.

Dr Shamsul Hendra (dua kiri) memberikan tanda bagus ketika pelajar datang mengambil makanan di kaunter yang disediakan.

Explore More