JOHOR BAHRU, 11 Mac — Seramai enam orang bekas pelajar (Alumni) Universiti Teknologi Malaysia (UTM) telah dilantik sebagai Menteri, Timbalan Menteri dan juga pentadbir tertinggi kerajaan dalam tahun 2020 ini.

Mereka ialah Menteri Pengangkutan, Yang Berhormat (YB) Datuk Seri Ir. Dr. Wee Ka Siong, Menteri Dalam Negeri, YB Dato’ Seri Hamzah bin Haji Zainudin, Menteri Wilayah Persekutuan, YB Tan Sri Datuk Seri Panglima Haji Annuar bin Haji Musa, Timbalan Menteri Kerja Raya, YB Datuk Shahruddin bin Md Salleh, Timbalan Menteri Kewangan II, YB Tuan Mohd Shahar bin Abdullah dan juga Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Y.Bhg Datuk Seri Azam bin Baki.

Dr. Wee Ka Siong bergraduasi dengan Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Awam pada tahun 1992 diikuti Ijazah Doktor Falsafah (PhD) dalam bidang Perancangan Pengangkutan pada tahun 2002.

YB Tan Sri Annuar Musa memperolehi Ijazah Sarjana Muda Perancangan Bandar dan Wilayah pada tahun 1980 dan YB Datuk Seri Hamzah Zainuddin pula bergraduat dengan Diploma Ukur Bahan pada tahun 1975.

UTM yang terkenal sebagai universiti yang melahirkan teknokrat terbilang juga telah menjadi pilihan bagi Timbalan Menteri Kewangan II, YB Tuan Mohd Shahar Abdullah yang bergraduasi dengan Ijazah Sarjana Kejuruteraan Elektrik – Elektronik dan Telekomunikasi pada tahun 2013 diikuti oleh Timbalan Menteri Kerja Raya, YB Datuk Shahruddin bin Md Salleh yang mempunyai Diploma Kejuruteraan Mekanikal dari UTM.

Bagi lantikan perkhidmatan awam pula, alumni UTM tidak terkecuali dalam melakar sejarah gemilang apabila Datuk Seri Azam Baki dilantik sebagai Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Beliau yang bergraduasi dengan Diploma Kejuruteraan Elektrik (Kuasa) pada 1984 itu dilantik ke jawatan itu bagi menggantikan penyandang sebelumnya Latheefa Beebi Koya yang meletakkan jawatannya berkuatkuasa 9 Mac 2020.

Tahniah diucapkan kepada semua. Semoga dapat menjalankan tugas yang diamanahkan dengan sebaik mungkin.

Menteri Wilayah Persekutuan,Tan Sri Annuar Musa

Menteri Dalam Negeri,Datuk Seri Hamzah Zainuddin

Timbalan Menteri Kewangan, Mohd Shahar Abdullah

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Ir. Dr. Wee Ka Siong

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Azam Baki