April 26, 2024

Search
Close this search box.

JOHOR BAHRU, 28 Mac — Arahan bekerja dari rumah yang dilaksanakan sektor awam dan swasta selaras dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi mengekang penularan COVID-19 yang bermula 18 Mac sehingga 14 April 2020 dilihat mempunyai kelebihan dan kelemahan yang tersendiri.

Universiti Teknologi Malaysia (UTM) juga tidak terkecuali mewajibkan kakitangannya untuk bekerja dari rumah dalam tempoh masa yang ditetapkan dan daripada tinjauan yang dijalankan, pelbagai reaksi yang diberikan oleh kakitangan terutamanya yang tidak pernah berbuat demikian.

Penolong Pendaftar Kanan Jabatan Hal Ehwal Pelajar (HEP), Nurazlin Masir berkata bekerja dari rumah adalah sesuatu perkara yang baharu baginya dan agak kekok untuknya membiasakan diri.

Nurazlin Masir

“Saya bertanggungjawab menyelia Unit Kualiti dan Media di HEP dan juga bertanggungjawab menyelia urusan kewangan jabatan itu.

Arahan untuk bekerja dari rumah ini sememangnya mencabar buat saya kerana terpaksa berkomunikasi dengan rakan sekerja dengan menggunakan aplikasi whatsap dan juga emel.

Namun, apa yang sukar adalah apabila mesyuarat terpaksa dilakukan secara dalam talian,” katanya lagi.

Nurazlin berkata cara ini dilihat kurang efektif kerana ada beberapa perkara yang kita perlu berbincang secara bersemuka namun demi mengekang penularan wabak yang berbahaya ini beliau akur dengan arahan ini.

“Walaubagaimanapun jika berkaitan dengan urusan kewangan dan kualiti saya akan ke pejabat dengan staf kerana tiada pilihan disebabkan terpaksa merujuk kepada fail dan beberapa bahan rujukan lain,” katanya lagi.

Beliau bagaimanapun berpendapat bahawa menjalankan kerja dari rumah ini ada baik dan juga buruknya di mana bekerja di pejabat mengikut masa yang ditetapkan tetapi apabila di rumah, masa adalah bebas tetapi dalam masa yang sama sering ‘terganggu’ dengan rutin sebagai suami, isteri ataupun anak,” katanya lagi.

Bagi Penolong Pendaftar Pusat Jaringan Industri Komuniti (UTMCCIN), Rohaizan Khairul Anuar pula berkata walaupun teruja kali pertama bekerja dari rumah namun khuatir tumpuannya pada kerja boleh terganggu.

“Pada pendapat saya, bekerja dari rumah ini mempunyai kelebihan dan kelemahannya. Kelebihannya sudah pasti saya tidak perlu tergesa-gesa bersiap untuk ke tempat kerja.

Namun kelemahannya adalah disiplin kerja tidak sama seperti di pejabat kerana apabila di rumah, banyak benda boleh mengganggu.

Jadi, terpulang kepada diri sendiri untuk menjalankan tanggungjawap yang telah diberikan,” katanya.

Sungguhpun begitu, katanya, tugasan kerja harian mesti disempurnakan sebaiknya kerana jabatan meletakkan sepenuh kepercayaan kepada setiap pekerjanya.

“Saya dipertanggungjawabkan untuk mengurus segala hal ehwal berkaitan dengan pemegang taruh dan juga komunikasi korporat dengan pihak industri yang memerlukan saya untuk berurusan terus dengan mereka.

Jika ada mesyuarat yang dijadualkan, ia akan dibuat secara atas talian namun pada pendapat saya, ada sesetengah perkara lebih mudah diterangkan secara berhadapan,” katanya.

Explore More