April 26, 2024

Search
Close this search box.

JOHOR BAHRU, 15 Feb. – Karnival Jom Masuk IPT 2020 telah dirasmikan dalam sebuah acara gilang-gemilang di sini, hari ini, menandakan bermulanya kemeriahan program yang akan membantu bakal-bakal mahasiswa Institusi Pendidikan Tinggi Awam dan Swasta, Kolej Matrikulasi, Politeknik dan Kolej Komuniti dan Institusi Latihan Kemahiran Awam untuk beroleh maklumat berhubung peluang melanjutkan pengajian ke institusi yang diimpikan.

Majlis Perasmian Program Jom Masuk IPT Tahun 2020 ini telah disempurnakan oleh Timbalan Menteri Pendidikan Malaysia, YB Puan Teo Nie Ching.

Program ‘signature’ Jabatan Pendidikan Tinggi ini bermula pada 15 Februari 2020 sehingga 29 Mac 2020, melibatkan lapan lokasi di seluruh negara dan dimulakan dengan negeri Johor, Pahang, Kedah, Sabah, Perak, Terengganu, Sarawak dan akhirnya Selangor.

Bagi Zon Selatan di Johor, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) telah dipilih menjadi tuan rumah dan telah diadakan di Persada Johor International Convention Centre

Penganjuran program ini juga bertujuan untuk membantu pengunjung mendapatkan maklumat tentang Institusi Pengajian Tinggi (IPT) termasuk pelbagai program yang ditawarkan, terutamanya maklumat jelas berhubung peluang melanjutkan pengajian di IPT termasuk program yang ditawarkan mengikut kesesuaian kelayakan akademik pelajar.

Bagi Zon Selatan, kira-kira 100 booth telah disediakan melibatkan 75 wakil dari pelbagai institusi termasuk 20 universiti awam, Kolej Matrikulasi dan Jabatan Pengajian Tinggi dan universiti swasta dari seluruh negara.

Turut hadir dalam Majlis Perasmian tersebut ialah Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Kesihatan dan Sumber Manusia Negeri Johor, YB Tuan Haji Aminolhuda bin Haji Hassan, Naib Canselor UTM, Prof Datuk Ir Dr Wahid bin Omar, Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia, Dr Habibah binti Abdul Rahim serta Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi (Akademik dan Pembangunan), Dato’ Prof Ir Dr Mohd Saleh bin Jaafar.

Naib Canselor, Datuk Wahid berkata, kerjasama antara Kementerian Pendidikan Malaysia dan UTM amatlah dihargai kerana Jom Masuk IPT merupakan peluang terbaik UTM sebagai Universiti Awam (UA) bersama rakan-rakan universiti lain dalam menyebarluas maklumat mengenai peluang pendidikan tinggi di negara ini.

“UTM juga amat berbesar hati atas kepercayaan yang diberikan oleh pihak KPM untuk sama-sama menerajui pengelolaan Jom Masuk IPT Tahun 2020 bagi Zon Selatan.

Pastinya kejayaan penganjuran Zon Selatan akan memberi impak kepada kejayaan siri jelajah bagi 7 lagi lokasi yang menyusul selepas ini,” tambah beliau yang turut mempromosikan UTM sebagai antara universiti terbaik di dunia kepada hadirin.

Penganjuran program ini juga adalah selaras dengan permohonan kemasukan ke UPU secara atas talian yang bakal dibuka bermula 24 Februari sehingga 31 Mac 2020.

Dalam majlis perasmian tersebut, sebuah portal permohonan bersepadu yang terbaharu untuk tujuan kemasukan ke Institusi Pengajian Tinggi (IPT) dan Institusi Latihan Kemahiran (ILK) Malaysia bagi lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) melanjutkan pengajian ke peringkat asasi, matrikulasi, diploma dan sijil telah dilancarkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

Dalam kenyataannya kepada media, Teo berkata bermula sesi akademik 2020/2021, permohonan untuk melanjutkan pengajian ke Kolej Matrikulasi KPM dan juga Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM) akan diselaraskan bersekali dengan permohonan memasuki ke Universiti Awam (UA), Politeknik, Kolej Komuniti dan Institusi Latihan Kemahiran Awam melalui portal UPU Online.

“Pelajar hanya akan membuat satu permohonan untuk melanjutkan pengajian ke program asasi, matrikulasi, diploma, sarjana muda atau sijil dalam satu portal tunggal UPUOnline sahaja. Ini amat berbeza dengan praktis sebelum ini dimana permohonan dibuat dengan menggunakan portal yang berbeza bagi setiap institusi ini.

Pengenalan portal MyUPU ini juga berpotensi untuk memberikan peluang kepada lebih ramai pelajar untuk melanjutkan pengajian dan memaksimumkan tempat penempatan pelajar ke dalam program pengajian pilihan mereka,” katanya lagi.

Timbalan Menteri itu turut juga melancarkan dokumen Way Forward for PHEIs : Education as an Industry (2020-2025) sebagai sumber rujukan utama Institusi Pengajian Tinggi (IPTS) dalam menentukan hala tuju menjelang 2025.

Naib Canselor UTM, Prof Datuk Ir Dr Wahid bin Omar sewaktu menyampaikan ucapan alu-aluan
Gimik pelancaran Way Forward for PHEIs : Education as an Industry (2020-2025) menampilkan robot ciptaan Robocon UTM di bawah bimbingan Prof. Madya Ir. Dr. Mohd. Ridzuan Ahmad dari Fakulti Kejuruteraan
Timbalan Menteri Pendidikan Malaysia, YB Teo Nie Ching bergambar bersama pegawai kanan KPT dan Sekreteriat Program Jom Masuk Universiti 2020 selepas merasmikan program itu di Pusat Persidangan Antarabangsa Persada Johor semalam. Turut serta adalah Naib Canselor UTM, Prof. Datuk Ir. Dr. Wahid Omar (berbaju merah).
YB Tio Nie Ching (tiga kiri) ketika melancarkan dokumen ‘Way Forward for PHEIs : Education as Industry (2020-2025)’ di Persada Johor samalam.
Naib Canselor UTM, Prof. Datuk Ir. Dr. Wahid Omar (tiga kiri) menerangkan tentang Pasukan Pembangunan Robotik UTM.

 

Explore More