April 27, 2024

Search
Close this search box.

Sekumpulan wakil penyelidik dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dengan kerjasama dari Pejabat Daerah Mersing dan Majlis Daerah Mersing telah menganjurkan Bengkel Perbincangan Kumpulan Fokus (FGD) bersama komuniti daerah Mersing pada 14 Januari 2020 yang lalu.

Bengkel yang berlangsung di Kg. Sri Bahagia, Mersing ini dianjurkan di bawah inisiatif Lembah Inovasi Johor (JIVe) dan juga merupakan aktiviti lanjutan bagi kajian isu penyalahgunaan dadah dan pelencongan sosial, susulan sesi Townhall Mersing yang diadakan pada 10 Disember 2019.

Ketua projek, Dr. Ain Naadia Mazlan daripada Sekolah Kejuruteraan Awam (SKA) berkata, bengkel ini adalah rentetan satu kes kematian seorang kanak-kanak akibat kanser di kampung tersebut yang telah mendapat perhatian DYMM Tuanku Permaisuri Johor yang menitahkan agar penyelesaian segera dapat dilakukan bagi mengatasi masalah ini daripada berlarutan dan memudaratkan semua pihak.

“Bengkel ini diadakan sebanyak dua sesi iaitu sesi pagi dan malam. Sesi pagi berlangsung di Dewan Jubli Intan Sultan Ibrahim bersama dengan wakil daripada pelbagai jabatan dan agensi sekitar Mersing seperti Pejabat Daerah Mersing, Majlis Daerah Mersing, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), Pegawai Kesihatan Daerah, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Jabatan Perpaduan, Yayasan Raja Zarith Sofia (YRZS), Pejabat Belia dan Sukan Daerah, Pejabat Kadi Mersing Penghulu Kanan dan Jawatankuasa kampung.

Antara isu utama yang telah dibangkitkan oleh pemegang taruh semasa sesi pagi berkait rapat dengan masalah keselamatan kampung, kerosakan kemudahan awam, keciciran pendidikan, aktiviti sosio ekonomi rendah yang kesemuanya dipengaruhi dengan kes penyalahgunaan dadah dan pelencongan sosial oleh masyarakat sekitar terutama semasa musim tengkujuh di mana para nelayan tidak dapat ke laut selama hampir empat bulan,” katanya.

Dr Ain berkata hasil dapatan daripada sesi pagi telah dianalisis dan diringkaskan untuk dibawa ke sesi bersama komuniti sementara itu sesi malam pula diadakan bersama komuniti di Perkarangan Masjid Taman Sri Bayu, Mersing selepas solat isyak.

“Modul pendekatan yang lebih interaktif dan santai digunakan bagi memudahkan orang kampung untuk memahami dan memberi pendapat. Sebagai tambahan setiap sesi telah diletakkan dua orang wakil sukarelawan mahasiswa bagi membantu penduduk.

Daripada pemerhatian kami, majoriti penduduk yang hadir bersetuju dengan pandangan dapatan yang dibawa pada sesi pagi sebelum ini dan telah memberikan beberapa cadangan aktiviti yang mereka rasa perlu diadakan,” katanya.

Menurut Dr Ain lagi satu pelan cadangan tindakan bagi mengatasi isu penyalahgunaan dadah dan pelencongan sosial akan diusulkan kepada pihak berkenaan bagi melengkapi keperluan pembangunan Rancangan Kawasan Khas (RKK) Kampung Bahagia/Sri Lumpur dari sudut pembangunan sosial dan sahsiah.

“Ini membuktikan bahawa UTM sentiasa komited dalam membantu masyarakat setempat dalam meningkatkan mutu kehidupan dan mengatasi masalah pelencongan isu sosial sesuai dengan slogannya iaitu Universiti untuk Masyarakat,” katanya lagi.

Sesi Townhall Mersing bersama YAD Datin Dr Nila Armila Mukdan, Pengerusi Pertubuhan Amal Isteri Wakil-Wakil Rakyat Pakatan Harapan Negeri Johor (JASMINE)

Explore More