JOHOR BAHRU, 16 Feb. — Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dengan kerjasama Jabatan Pelajaran Negeri Johor (JPNJ) telah melaksanakan Program Sekolah Angkat Sekolah Perniagaan Antarabangsa Azman Hashim (AHIBS) bagi membimbing calon Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) 2020 dalam mencapai kecemerlangan dalam peperiksaan.
Program ini yang dijalankan bersama-sama dengan Program Gemilang UPSR 2020 itu telah disempurnakan perasmiannya oleh Naib Canselor UTM, Prof. Datuk Ir. Dr. Wahid Omar di Sekolah Kebangsaan Taman Universiti (SKTU) 4 semalam.
Turut hadir adalah Guru Besar SKTU4, Tn. Hj. Zulkarnain Masrin, Pengarah Pusat Jaringan Industri dan Komuniti (UTMCCIN), Prof. Madya Dr. Johari Surif, Timbalan Pegawai Pendidikan Daerah (Pembelajaran) Johor Bahru, Noritah Alwi dan Dekan AHIBS, Prof. Dr. Nur Naha Abu Mansor.
Pengarah Program, Prof. Madya Dr. Suresh a/l Ramakrishnan berkata kedua-dua program ini dibentuk khusus untuk memastikan segala pengajaran dan pembelajaran dapat dilaksanakan secara terancang dan berkesan.
“Dari semasa ke semasa, kemajuan murid akan diteliti dan dikaji bagi memastikan SKTU 4 dapat mencapai sekurang-kurangnya 92.46 peratus murid lulus dalam semua mata pelajaran di samping mencapai matlamat kumpulan sasaran sekurang-kurangnya 18 orang mendapat keputusan 6A dalam UPSR.
Di samping membimbing mereka untuk mencapai keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan UPSR yang akan datang, UTM juga berusaha memberikan motivasi kepada mereka agar menyimpan cita-cita untuk menjadi penuntut universiti,” katanya.
Menurut Dr. Suresh lagi, program Sekolah Angkat yang telah berlangsung sejak tahun 2015 ini akan dijalankan sepanjang tahun dengan pengukuhan kelestarian ini dilakukan melalui pelbagai program yang telah dirancang.
“Antara pengisian program sepanjang tahun yang akan dijalankan ialah Program Motivasi Saya Seorang Graduan, Teknik dan Bengkel Menjawab Ssoalan UPSR, Motivasi Perkasa Juara, Interaksi Bersama Ibu Bapa.
Selain itu para peserta juga akan diberikan suntikan moral melalui slot Motivasi Persediaan Akhir UPSR dan juga Pecutan Akhir dan Iringan Restu ibu bapa pelajar bagi membolehkan pelajar menghadapi peperiksaan dengan lebih bersedia dan tenang,” katanya lagi.
Bagi memberikan semangat supaya para pelajar ini meneruskan kecemerlangan dalam akademik walaupun setelah meninggalkan sekolah rendah untuk ke sekolah menengah kelak, para pelajar ini akan menghadiri Program Konvokesyen Tahun Enam yang dijalankan di Dewan Sultan Iskandar (DSI), UTM.
“Program ini amat unik kerana semua pensyarah AHIBS yang terlibat dalam program bimbingan ini akan mengenakan jubah konvokesyen yang lengkap dan pelajar pula dikehendaki memakai sut dan tali leher.
Sesi ini adalah lebih kepada memberikan motivasi kepada para pelajar supaya mengekalkan kecemerlangan akademik dan seterusnya memasang impian untuk menjadi mahasiswa universiti pada suatu hari nanti,” katanya.
Untuk rekod, kerjasama yang telah terjalin sejak 2015 itu juga telah menunjukkan pencapaian yang membanggakan apabila SKTU 4 berjaya mencapai peratus kelulusan setinggi 91.91 peratus bagi UPSR tahun 2019. Angka ini adalah yang tertinggi berbanding hanya sekitar 80 peratus sejak sekolah ini dibuka pada tahun 1999.