JOHOR BAHRU, 5 Feb. — Naib Canselor Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Prof. Datuk Ir. Dr. Wahid Omar telah membuat lawatan ke beberapa kolej kediaman mahasiswa dalam kawasan kampus universiti itu bagi meninjau keadaan penghuni dan fasiliti di situ.

Lawatan anjuran Jabatan Harta Bina itu dilakukan dengan tujuan mahu memeriksa keadaan fasiliti di kolej-kolej kediaman UTM dan memastikan keadaan kemudahan di kolej kediaman agar sentiasa berada dalam keadaan baik bersempena dengan pendaftaran mahasiswa baharu bagi sesi II, semester 2019/2020.

Prof. Wahid yang ditemui selepas sesi lawatan tersebut berkata program lawatan ini amat berkesan kerana berkesempatan bertemu dan beramah mesra dengan mahasiswa di kolej berkenaan dan bertanya sendiri kepada mereka mengenai masalah yang dihadapi sepanjang tinggal di kolej berkenaan.

“Pihak universiti memandang serius sebarang laporan dari pelajar tentang isu keselesaan tinggal di asrama. Ini kerana kita sentiasa menitikberatkan isu keselesaan mahasiswa supaya mereka selesa untuk tinggal dan belajar di dalam kampus ini.

Adalah penting untuk setiap pihak pengurusan kolej kediaman untuk memastikan bahawa segala kemudahan yang disediakan sentiasa berada dalam keadaan baik dan selamat untuk digunakan,” katanya lagi.

Beliau berkata, lawatan itu sebagai satu tanggungjawab pengurusan tertinggi universiti dan mengambil peduli masalah semasa yang dihadapi mahasiswa yang tinggal di kolej-kolej kediaman di universiti ini dan perkara itu disambut baik mereka.

Antara kolej kediaman yang sempat dilawati adalah Kolej Tun Fatimah (KTF), Kolej Tunku Canselor (KTC), Kolej 9&10 serta Blok S47

Turut mengiringi Naib Canselor berkenaan adalah Pengetua Kolej Tunku Canselor (KTC), Prof. Dr. Shahrul Kamal dan juga beberapa orang pegawai kanan dan juga kakitangan Jabatan Timbalan Naib Canselor (Pembangunan) dan Jabatan Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar (HEP).

Naib Canselor, Prof. Datuk Ir. Dr. Wahid Omar berkesempatan beramah mesra dan bertemu dengan penghuni Kolej 9 dan 10 di UTM Johor Bahru.

Antara barisan pengurusan kolej yang turut hadir semasa sesi lawatan bersama Naib Canselor

Antara kolej kediaman yang sempat dilawati oleh Naib Canselor