JOHOR BAHRU, 3 Feb. – Seolah-olah sebuah ‘panggilan kesedaran’, mesej-balas ringkas daripada Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Prof. Datuk Ts. Dr. Ahmad Fauzi Bin Ismail menyedarkan pensyarah, Dr. Nur Hafizah Abd. Khalid agar tidak berlengah lagi dan segera pulang ke tanah air berikutan keadaan Coronavirus yang semakin meruncing di China.

Beliau yang berkhidmat di Sekolah Kejuruteraan Awam, Fakulti Kejuruteraan UTM berada di Changsha, Wilayah Hunan (kira-kira 373km dari Wuhan) sejak 1 Mei 2019 kerana menjalani pasca-kedoktoran di Universiti Hunan dan menjalankan penyelidikan di bawah tajaan China Science and Technology Exchange Centre (CSTEC).

Tatkala menerima mesej tersebut, beliau sebenarnya telah berada dalam ‘tahanan’ di kediaman beliau selama 7 hari berikutan larangan keluar oleh kerajaan tempatan.

Nur Hafizah berkata ketika penularan jangkitan diumumkan, semua penduduk Changsha diarahkan untuk duduk dalam rumah masing-masing dan tidak digalakkan untuk keluar.

“Saya dan anak yang masih kecil terpaksa tinggal dalam rumah selama seminggu sehingga kekurangan stok makanan. Wakil kejiranan juga telah memberitahu bahawa penduduk adalah dilarang keras untuk keluar.

Melihatkan stok makanan pun sudah tinggal hujung menyebabkan saya tahu sudah tiba masanya saya perlu kembali ke Malaysia.

Keadaan di hospital di sana juga sangatlah tidak membantu sekiranya berlaku apa-apa kecemasan, dan anak saya yang baru berusia dua tahun juga tidak dilindungi oleh insurans berikutan syarat ketat oleh Kerajaan China,” kata beliau.

Dr. Nur Hafizah Abd. Khalid turut mengambil keputusan tersebut setelah menimbangkan faktor jangkitan virus pembunuh itu yang sehingga kini belum ditemui vaksin penyembuhnya.

Menurut beliau, jarak Wuhan dari Changsha agak dekat, maka wilayah ini juga terkesan hebat.

Beliau menghubungi Pusat Kepimpinan Akademik (UTMLead) untuk memohon surat kebenaran pulang ke Malaysia selain turut berhubung dengan wakil Kedutaan Malaysia di China.

Nur Hafizah telah bertindak menghubungi wakil Kedutaan Malaysia di Beijing bagi memberitahu mengenai keadaan diri dan anaknya yang telah kekurangan stok makanan di rumah serta terikat dengan peraturan kuarantin yang dikenakan kerajaan China.

Wakil Kedutaan Malaysia di China, Aziz How bin Abdullah telah memainkan peranan penting dengan mengadakan rundingan dengan wakil yang terlibat berkenaan keizinan beliau untuk pulang.

“Pada tanggal 29 Januari 2020 setelah mendapat keizinan dari UTM, penyelia dan kebenaran pihak Kedutaan Malaysia maka saya pun meninggalkan negara tembok besar itu.

Penerbangan ke Malaysia juga tertangguh selama tiga jam disebabkan penerbangan sebelum itu membawa penumpang yang mempunyai simptom Coronavirus dan saya terpaksa menunggu sehingga syarikat penerbangan selesai dengan prosedur saringan jangkitan barulah dibenarkan berlepas,” katanya.

Dr. Nur Hafizah selamat tiba di Malaysia pada 30 Januari 2020 bersama dengan anaknya dan melalui beberapa siri saringan seperti digariskan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia termasuklah proses pemantauan (home monitoring) selama 14 hari.

Beliau merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada pelbagai pihak di UTM yang bertanggungjawap membantunya dalam urusan mendapatkan kebenaran untuk meninggalkan negara tembok besar itu.

“Terima kasih saya ucapkan kepada Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Prof. Datuk Dr. Ahmad Fauzi Ismail atas pandangan peribadi beliau dan pihak Pusat Kepimpinan Akademik (UTMLead) iaitu Encik Ariffin Basserany bagi mendapatkan surat kebenaran untuk saya meninggalkan sementara negara China.

“Sekalung penghargaan juga diucapkan kepada Timbalan Pendaftar Fakulti Kejuruteraan, Hazila Rahmat dan Pro-Naib Canselor (Pengantarabangsaan) dan Pengarah UTM International, Prof. Madya Dr. Mohd Ismid Mohd. Said yang berunding dengan wakil Kedutaan Malaysia bagi membawa saya keluar dari China,” katanya lagi.

Komunikasi antara wakil Kedutaan Malaysia di China, pihak fakulti dan pihak UTM International amatlah membantu mempercepatkan proses kepulangan saya,”tambah beliau.

Ditanya mengenai status pengajiannya, Nur Hafizah berkata beliau akan kembali semula ke China sekiranya keadaan telah benar-benar pulih bagi menyelesaikan pengajiannya.

“Buat masa ini saya terpaksa menangguhkan dahulu pengajian dan telah diberikan pelepasan oleh kerajaan China sehingga akhir Februari ini.

Bergantung kepada secepat mana berakhirnya fenomena penularan virus ini, saya akan kembali semula ke China bagi menghabiskan pengajian saya,” katanya lagi.

Dr Nur Hafizah sempat ‘wefie’ bersama puterinya sebelum berangkat pulang ke Malaysia

Bandar Hunan yang kosong kerana sambutan Tahun Baru Cina baru-baru ini.

Berberapa sekatan jalan raya yang sementara yagn didirikan oleh pihak berkuasa bagi menyekat keluar masuk penduduk tempatan.