Disember 23, 2024

Universiti Teknologi Malaysia (UTM) buat julung kalinya telah menjadi tuan rumah kepada Asean Astronomy Workshop For Teachers 2019, sebuah bengkel astronomi pertama yang memfokus kepada guru-guru sekolah menengah dari negara-negara Asean selama tiga hari bermula 26 Disember hingga 28 Disember 2019.

AAWT merupakan sebuah bengkel serantau bagi guru dari negara Asia Tenggara (ASEAN) yang direkabentuk dengan tujuan untuk mempromosi pengajaran astronomi bagi guru Sains sekolah menengah di ASEAN dan untuk mendekatkan golongan ini kepada peralatan asas bagi astronomi.

Penyelaras program, Dr. Othman bin Zainon berkata, matlamat utama penganjuran bengkel ini juga bertujuan untuk meningkatkan kemahiran guru-guru sekolah dan pegawai-pegawai Balai Cerap di Malaysia dan negara Asean yang terpilih dalam ilmu astronomi dan penggunaan teleskop.

“Sminar juga dianjurkan untuk mendedahkan guru kepada pencapaian utama astronomi pada abad yang lalu, dengan penekanan terhadap penggunaan astronomi sebagai alat untuk pendidikan dan turut diadakan bersempena dengan Gerhana Matahari Cincin (Annulus) pada 26 Disember 2019 di Tanjung Piai, Pontian, Johor.

Kesemua peserta telah dibawa ke Tanjung Piai bagi melihat sendiri Gerhana Matahari Cincin dan seterusnya berbengkel di Fakulti Alam Bina dan Ukur, UTM selama 3 hari. Oleh itu, inisiatif dan usaha ini dapat meningkatkan pengetahuan dan membangunkan para guru dalam ilmu astronomi dan kemahiran menggunakan teleskop.

“Program ini ditaja oleh International Science Council dan International Astronomy Union yang memberi tumpuan kepada guru-guru sekolah menengah yang telah mempunyai aktiviti astronomi dan mempunyai teleskop sendiri dan Universiti Teknologi Malaysia telah dipilih sebagai tuan rumah untuk sesi bengkel kali ini.

Di samping itu, program Astronomy Public Talk tersebut dirancang bagi memberi maklumat terkini berkaitan perkembangan ilmu astronomi kepada warga UTM umumnya dan Fakulti khususnya.

Bengkel ini disertai oleh seramai 40 orang perserta yang terdiri dalam kalangan guru dan agensi dari Semenanjung Malaysia, Sabah, Sarawak serta peserta dari negara-negara Asian seperti Singapura, Vietnam, Indonesia, Filipina, Laos, Myammar dan Thailand. Kesemua mereka telah dipilih berdasarkan kriteria yang telah ditetapkan oleh pihak penganjur,” tambah beliau.

Pada majlis perasmian bengkel tersebut, ucapan alu-aluan disampaikan oleh Prof Emeritus Datuk Dr Mazlan Binti Othman dan dirasmikan oleh Dekan, Fakulti Alam Bina dan Ukur (FABU) UTM Prof Ts Dr Mohd Hamdan Bin Ahmad.

Menariknya sempena program ini juga, Dr Othman turut memberi ulasan berkenaan Gerhana Matahari Cincin seperti liputan Bernama, http://www.astroawani.com/berita-malaysia/gerhana-matahari-pengaruhi-perilaku-haiwan-226398

Para peserta AAWT 2019 melihat menerusi teleskop ke arah langit bagi memantau fenomena Gerhana Matahari Cincin di Tg. Piai, Pontian, Johor.

Para peserta bengkel AAWT 2019 bergambar kenangan pada hari akhir program.

Selain dibawa untuk sesi praktikal pemerhatian fenomena Gerhana Matahari Cincin di Tg. Piai, Pontian, Johor, para peserta juga berbengkel di UTM Johor Bahru berkenaan dapatan yang diperolehi sewaktu latihan praktikal di lapangan.
Dekan FABU, Prof. Dr. Mohd. Hamdan Ahmad tiba di Tg. Piai, Pontian, Johor bagi menyertai para peserta AAWT 2019 dalam aktiviti kerja lapangan meneropong Gerhana Matahari Cincin.

Explore More