April 25, 2024

Search
Close this search box.

UTM- Arif Efektif tandatangani MoA kerjasama penyelidikan Produk Kawalan Bio-Lestari untuk pertanian.

JOHOR BAHRU, 22 Jan. – Satu Memorandum Persefahaman (MoA) telah ditandatangani oleh Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dengan Arif Efektif Sdn. Bhd. bagi menjalankan penyelidikan bersama dalam membangunkan produk Bio-Lestari untuk pertanian.

Memorandum tersebut telah ditandatangani oleh Naib Canselor UTM, Prof. Datuk Ir. Dr. Wahid Omar bagi pihak Universiti Teknologi Malaysia manakala Arif Efektif Sdn Bhd pula telah diwakili oleh Pengerusinya, Datuk Dr. Abd Shukor Abd Rahman.

Prof. Wahid dalam ucapannya berkata kerjasama ini melibatkan projek pembangunan platform penyelidikan mikrob untuk industri pertanian bagi projek ‘Bioprocess Optimization and Scale Up Studies on Microbial Strains Cultivation’ selama dua tahun bernilai RM264, 000.00 yang telah memulakan operasinya dari 1 April 2019.

“Dalam kerjasama sebelum ini dengan Arif Efektif Sdn Bhd, kami telah berjaya menerjemahkan penemuan makmal kami dan hasil penyelidikan ke dalam produk yang berdaya maju untuk aplikasi pertanian.

Kini kerjasama itu telah memasuki fasa baru yang memberikan penekanan kepada pembangunan pengeluaran yang cekap dan bersepadu menerusi penerapan strain mikrob baru untuk aplikasi kawalan biologi, “kata Prof. Wahid.

Beliau berkata demikian dalam ucapan aluannya di Bilik Mesyuarat Utama, Bangunan Canseleri Sultan Ibrahim, UTM Johor Bahru. Turut hadir adalah Ketua Pegawai Eksekutif Arif Efektif Sdn. Bhd, Wan Azha Wan Kamarudin dan Pengarah Institut Pembangunan Bioproduk UTM, Prof. Dr. Hesham Ali El-Enshasy.

Projek ini dijalankan oleh sekumpulan penyelidik di IBD dengan diketuai oleh Pengarahnya, Prof Dr Hesham El Enshasy di mana UTM berperanan untuk meningkatkan keberkesanan produk pertanian yang akan dihasilkan oleh syarikat menggunakan sumber berasaskan mikrobiologi untuk kelestarian.

Produk ini adalah untuk menggantikan penggunaan bahan kimia toksik yang digunakan secara meluas untuk mengawal penyakit terhadap tanaman yang berbahaya kepada kesihatan manusia dan haiwan.

Prof. Wahid berkata kerjasama tersebut dilihat tepat pada masanya dan juga signifikan kerana industri kini berkolaborasi dengan institusi pendidikan untuk aktiviti penyelidikan dan pembangunan yang lebih komprehensif untuk manfaat bersama.

“Saya percaya bahawa IBD salah satu daripada 18 Pusat Kecemerlangan (HICoE) di Malaysia dengan kepakaran dalam pengoptimuman bioproses dan pengeluaran metabolit bioaktif secara besar-besaran akan memenuhi keperluan industri untuk penyelidikan dan perkhidmatan perundingan.

Kerjasama ini juga diyakini dapat memacu gelombang baru pembangunan bertaraf dunia dalam bioteknologi dan memanfaatkan kekuatan masing-masing untuk menerajui penyelidikan dalam bidang ini,” katanya.

Ditubuhkan pada tahun 2011, Arif Efektif Sdn Bhd, syarikat subsidiari di bawah All Cosmos Biotech Holding merupakan syarikat pertama yang memberi tumpuan kepada pembangunan produk kawalan bio yang lestari bagi pertanian.

Dari kiri Ketua Pegawai Eksekutif Arif Efektif Sdn. Bhd, Wan Azha Wan Kamarudin, Pengerusi Arif Efektif, Datuk Dr. Abd Shukor Abd Rahman, Naib Canselor UTM, Prof. Datuk Ir. Dr. Wahid Omar dan Pengarah IBDUTM, Prof Dr Hesham El Enshasy.

Explore More