Disediakan oleh: Ana Haziqah A.Rashid dan Siti Aisyah Bt. Panatik
Sekolah Pembangunan Sumber Manusia dan Psikologi (SHARPS), Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan (FSSK), Universiti Teknologi Malaysia (UTM) telah mengadakan Seminar on Graduate Research in Human Resource (GRHR2019) pada 1 Januari lalu.
Seminar ini telah diadakan di Blok T08, SHARPS, FSSK. Seramai 15 orang peserta yang merupakan pelajar program Sarjana dan Doktor Falsafah dari kursus Kaedah Penyelidikan Sumber Manusia (MHAR 1023) telah menyertai seminar ini.
Pensyarah kursus ini, iaitu Prof. Madya Dr. Siti Aisyah Panatik menyatakan bahawa penganjuran seminar ini adalah menyokong aspirasi UTM dalam menerapkan elemen kurikulum abad ke-21 melalui elemen Research Nexus.
Selain itu, seminar ini bertujuan untuk memberikan kemahiran dan pengalaman kepada pelajar pascasiswazah dalam membentangkan kertas kerja seminar dan menerbitkan artikel berasas kaedah kajian sistematik literature.
Dalam seminar ini, setiap pelajar dikehendaki menghasilkan satu artikel dan dibentangkan.
Pembentangan dan penulisan artikel tersebut dinilai oleh panel penilai yang terdiri daripada para pensyarah kursus Sumber Manusia iaitu Prof Madya Dr Roziana Shaari, Dr Shah Rollah, Dr Irmawati, Dr Mohd Saipol, Dr Noraini dan Dr Ana Haziqah.
Setiap komen dari para penilai adalah untuk membantu pelajar menulis artikel dengan lebih baik dan menghasilkan artikel yang lebih berkualiti.
Melalui seminar ini, semua artikel yang dibentangkan akan diterbitkan dalam prosiding manakala sebahagian artikel akan dipilih untuk diterbitkan dalam jurnal bersesuaian.