Program ‘Coffee Table’ telah dijalankan oleh pentadbir di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dengan tujuan mewujudkan komunikasi dua hala serta melahirkan sebuah ekosistem yang positif dengan menyediakan platform bagi kedua-dua pihak menyampaikan maklumat atau maklum balas secara terus.
Program berbentuk perjumpaan bersama pelajar tersebut dianjurkan secara formal dan tidak formal bagi membincangkan perkara berkaitan pembelajaran dan pembangunan pelajar.
Beberapa program telah dianjurkan oleh pelbagai fakulti, UTM International malah Pejabat Naib Canselor sendiri dan telah berlangsung di kampus Johor Bahru dan juga kampus antarabangsa Kuala Lumpur.
Naib Canselor UTM, Prof. Datuk Ir. Dr. Wahid Omar berkata selain membina jambatan perhubungan yang erat, segala dasar universiti yang berkaitan dengan mahasiswa dapat disampaikan dengan lebih jelas dalam suasana yang lebih santai.
“Selain itu, pentadbir universiti juga berpeluang untuk mengemaskini perkembangan semasa UTM di samping berbincang mengenai isu semasa yang melibatkan mahasiswa seperti peluang pekerjaan masa kini, Revolusi Industri 4.0 dan juga beberapa isu yang melibatkan perubahan penting dalam lapangan pendidikan tinggi dan juga negara,” katanya lagi.
Pada 22 Disember 2019 yang lalu telah berlangsungnya pertemuan antara beliau dengan kira-kira 15 orang mahasiswa di V Caffe, medan selera Arked Meranti di kampus Johor Bahru.
Terdahulu Dekan Sekolah Perniagaan Antarabangsa Azman Hashim (AHIBS) telah mengambil inisiatif mengadakan pertemuan dengan mahasiswa pascasiswazah dan diikuti oleh Dekan Institut Teknologi Antarabangsa Malaysia-Jepun (MJIIT), Prof. Dr. Ali Selamat pada 27 Disember lalu.
Prof. Nur Naha telah mengadakan pertemuan dengan mahasiswa pascasiswazah AHIBS pada 17 Disember 2019 di Dewan Konvensyen, AHIBS kampus Johor Bahru dalam program yang dinamakan ‘Coffee Talk with the Dean’.
Program adalah bertujuan untuk membantu para pelajar dan kakitangan AHIBS dalam menangani semua isu dan cabaran yang dihadapi oleh pelajar pascasiswazah bagi mendidik mereka menjadi generasi yang berjaya pada masa hadapan.
Dalam program tersebut, Prof Nur Naha turut berkongsi sorotan dan pencapaian AHIBS bagi tahun 2019.