April 19, 2024

Search
Close this search box.

UTM anjur War on Waste Didik Masyarakat Gunapakai Bahan Terbuang

Mahasiswa kursus Budi Penyayang anjuran Pusat Kursus Kokurikulum dan Pembelajaran Servis (CCSL) Universiti Teknologi Malaysia (UTM) telah menganjurkan pameran yang bertajuk ‘War on Waste’.

Pameran tersebut bertujuan memberi maklumat kepada orang awam tentang kaedah mengitar semula minyak masak terpakai bagi menghasilkan sabun.

Penghasilan ini amat mudah dan boleh dilakukan sendiri oleh surirumah dan ini menyumbang kepada ‘zero waste’ di mana minyak masak yang sebelum ini dibuang, digunapakai semula sebagai sabun.

Pameran tersebut telah diadakan di tapak Festival Konvokesyen UTM yang ke-63 lalu selama dua hari iaitu pada 3 dan 4 November 2019.

Wakil pelajar kursus Budi Penyayang UTM, Malini Gunasekaran berkata antara agenda menarik sepanjang pameran adalah pembuatan kaji selidik tentang pengetahuan pembuatan sabun dari minyak masak terpakai di kalangan masyarakat.

“Wakil kami juga turut mengadakan demonstrasi penghasilan sabun dari sisa minyak masak supaya pengunjung dapat mengetahui cara pembuatannya secara praktikal.

Hasil daripada tinjauan berkenaan kami dapati sebanyak 70.6 peratus menyatakan bahawa mereka tidak pernah mengetahui yang sabun boleh dihasilkan dari minyak masak terpakai dan amat teruja untuk mempelajarinya,” katanya lagi.

Bagi menjayakan objektif mempelajari kaedah penghasilan sabun dari minyak masak terpakai ini, pihak penganjur telah bersetuju untuk menyediakan bahan keperluan asas menghasilkan sabun kepada mana-mana pengunjung yang menyatakan minat untuk mempelajari kaedah unik ini.

“Sesetengah dari mereka telah menyatakan minat untuk mempelajari teknik penghasilan sabun dari bahan terbuang ini malah telah menyatakan persetujuan bagi menjemput wakil kami bagi membimbing mereka di rumah masing-masing,” katanya lagi.

Sementara itu, Timbalan Pengarah Pusat Kelestarian UTM (UTMCS), Dr. Shazwin Mat Taib juga turut menyatakan sokongan dan berharap aktiviti sedemikian rupa dapat diteruskan pada masa hadapan.

“Masyarakat sekitar harus diberikan pendedahan seperti ini yang berpotensi menyokong menggerakkan komuniti setempat ke arah penjagaan alam sekitar yang lebih konstruktif.

Di samping mengurangkan kesan pencemaran minyak masak terpakai ke atas alam sekitar, boleh juga membuka mata masyarakat dengan cara yang betul dalam menghasilkan sabun dari sisa buangan makanan untuk digunakan dalam keperluan harian,” katanya.

Turut bekerjasama menganjurkan pameran ini adalah Unit Pelestarian Kampus (UTM CS), Fakulti Kejuruteraan UTM dan Sekolah Menengah Kebangsaan Layang-Layang, Pasir Gudang.

Para petugas UTM melayani pengunjung yang berkunjung ke booth pameran ‘War on Waste’
Pengunjung kanak-kanak yang mencuba kaedah menghasilkan sabun dari sisa buangan minyak masak di booth pameran ‘War on Waste’ yang berlangsung ketika Majlis Konvokesyen ke-63.
Seorang pengunjung wanita mencuba sendiri mengacau minyak masak terpakai dalam mangkuk besi untuk menghasilkan sabun dari bahan buangan tersebut.

Explore More