Universiti Teknologi Malaysia (UTM) sekali lagi meneruskan inisiatif UTM Prihatin apabila baru-baru ini, seramai 10 orang mahasiswa UTM dari keluarga kurang kemampuan (B40) berbangsa Tionghua telah menerima sumbangan ‘Angpau’ dari Unit Endowmen bagi sambutan Tahun Baru Cina 2020.
Sumbangan berjumlah RM200.00 seorang itu telah diserahkan oleh Pengarah Endowmen UTM, Prof. Madya Dr. Yusof Boon dalam satu majlis ringkas yang berlangsung di pejabat unit itu di Aras 4, Bangunan Canseleri Sultan Ibrahim, UTM Johor Bahru pada 12 Januari yang lepas.
Dr. Yusof dalam ucapannya mengucapkan jutaan terima kasih kepada para penyumbang Tabung Endowmen kerana hibah pelaburan daripada sumbangan tersebut telah dapat digunakan untuk membantu pelajar UTM yang kurang berkemampuan termasuklah sumbangan kepada pelajar untuk menyambut Tahun Baru Cina 2020.
“Matlamat utama penubuhan tabungan ini adalah bagi membantu mahasiswa dari keluarga kurang berkemampuan dalam menjalani kehidupan harian sebagai pelajar di kampus ini.
Hasil tabungan ini juga digunakan untuk membantu mahasiswa dari pelbagai kaum dan agama,” tegasnya lagi.
Menurut Dr. Yusof lagi sejak tahun 2019 Endowmen UTM telah menyalurkan sumbangan kepada pelajar kurang berkemampuan untuk menyambut pelbagai hari perayaan seperti Hari Raya Aidilfitri, Depavali dan Krismas.
“Semoga sumbangan kecil yang tidak seberapa yang disampaikan ini dapat meringankan beban pelajar dan keluarga dalam menyambut Tahun Baru Cina 2020 dengan penuh bermakna,” katanya lagi.