April 25, 2024

Search
Close this search box.

JOHOR BAHRU, 18 Nov. — Universiti Teknologi Malaysia (UTM) merupakan Universiti Penyelidikan (RU) di Malaysia yang berdiri sama tinggi dengan universiti antarabangsa terkemuka yang lainnya di persada dunia.

Universiti ini juga telah melahirkan ribuan siswazah yang berjaya mengharumkan nama negara di persada antarabangsa di mana kewibaan UTM di persada global tidak dapat dinafikan kerana institusi ini telah berjaya membawa Malaysia seiring dengan universiti terkemuka dunia yang lain khususnya dalam bidang kejuruteraan.

Berucap dalam Majlis Sanjungan Budi 2019, Pro Canselor UTM, Tan Sri Datin Paduka Siti Sa’diah Sheikh Bakir berkata di sebalik kejayaan demi kejayaan yang diraih oleh UTM pastinya ada kumpulan penggerak yang memacu kejayaan institusi itu.

Menurut beliau, kumpulan penggerak tersebut adalah yang terdiri daripada staf pengurusan mahupun sokongan yang telah terlibat dengan jayanya dalam setiap aktiviti yang dijalankan, menempuh suka dan duka dalam memastikan semua agenda, impian dan cita-cita UTM menjadi kenyataan.

“Oleh yang demikian adalah wajar bagi kita semua meraikan sumbangan dan khidmat bakti mereka atas segala pengorbanan yang telah mereka lakukan demi memartabatkan UTM di persada antarabangsa,” kata beliau.

Beliau berkata demikian ketika memberikan ucapan dalam Majlis Sanjungan Budi 2019 anjuran universiti itu bagi meraikan kakitangan dan bekas kakitangannya di KSL Hotel, Johor Bahru.

Tan Sri Siti Sa’adiah berkata majlis penghargaan seumpama Majlis Sanjungan Budi ini adalah penting dalam memastikan kelangsungan hubungan sesama staf dipererat agar dapat mendorong mereka memberikan yang terbaik sepanjang perkhidmatan.

“Bagi staf yang telah bersara, sekalung penghargaan diucapkan atas jasa yang telah dicurahkan dan sesungguhnya jasa baktimu tidak akan dilupakan.

Untuk yang sedang berkhidmat pula, berikanlah yang terbaik demi kemanfaatan UTM agar ia dapat dijadikan bekalan yang penuh bermakna di dunia dan akhirat kelak,” kata beliau lagi.

Turut hadir adalah Naib Canselor UTM, Prof. Datuk Ir. Dr. Wahid Omar, Pendaftar UTM, Abdul Razib Hj. Shahuddin dan juga Yang Dipertua, Persatuan Pesara UTM, Prof. Emeritus Dr. Ismail Khailani.

Majlis Sanjungan Budi 2019 menyaksikan seramai 155 orang pesara dan bakal pesara telah menerima Anugerah Jasa Abadi (AJA), 109 orang telah menerima Anugerah Jasa Bakti (AJB) bagi perkhidmatan selama 20 tahun dan seramai 76 orang menerima Anugerah Jasa Setia bagi perkhidmatan selama 30 tahun.

Buat kali pertamanya juga UTM telah meraikan seramai lima orang staf yang telah berkhidmat selama 40 tahun dan menganugerahkan kakitangan ini dengan Anugerah Delima.

Pro Canselor UTM, Tan Sri Datin Paduka Siti Sa’diah Sheikh Bakir (kiri sekali) dan Naib Canselor UTM, Prof. Datuk Ir. Dr. Wahid Omar (tengah) menyerahkan Anugerah Jasa Abadi kepada penerima di Majlis Sanjungan Budi 2019. Majlis telah berlangsung di KSL Hotel, Johor Bahru pagi tadi.

 

Kesemua penerima Anugerah merakamkan gambar kenangan

 

 

Explore More