April 19, 2024

Search
Close this search box.

JOHOR BAHRU, 22 Dis. — Peranan yang dimainkan oleh media massa dalam menyalurkan maklumat dan perkembangan terkini mengenai universiti kepada masyarakat awam sememangnya tidak dapat disangkal lagi.

Sehubungan itu Universiti Teknologi Malaysia (UTM) telah menganjurkan Malam Apresiasi Media 2019 bagi meraikan peranan dan sokongan pihak media kepada universiti selama ini.

Program tersebut merupakan anjuran Pejabat Hal Ehwal Korporat UTM dan telah berlangsung di Johor Cultural and Sports Club (JCSC).

Naib Canselor UTM, Prof. Datuk Ir. Dr. Wahid Omar berkata, bagi tahun ini sahaja, sebanyak 596 liputan media massa yang nilaiannya bersamaan jutaan ringgit telah diberikan kepada UTM dalam usaha memartabatkan institusi ini di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.

Liputan media yang diberikan terhadap program-program anjuran UTM itu merangkumi medium bercetak seperti akhbar-akhbar dan juga elektronik (surat khabar dan artikel yang diterbitkan secara atas talian).

“Media memainkan peranan yang sangat penting dalam menjayakan agenda pembangunan negara melalui penyebaran maklumat dan mewujudkan kesedaran di kalangan rakyat dalam menjayakan wawasan negara di samping menjadi wadah untuk rakyat menyampaikan pandangan mereka.

Sebagai sebuah universiti terbesar di negeri Johor dan juga salah satu institusi pengajian tinggi bertaraf Universiti Penyelidikan (RU) di Malaysia, kami amat aktif melibatkan diri dalam membantu kerajaan negeri dalam melaksanakan pembangunan ekonomi serta fizikal dan sudah tentulah kami amat menghargai peranan media sebagai ‘ejen’ bagi mempromosikan sumbangan institusi ini kepada masyarakat dan negara,” katanya.

Menurut Prof. Wahid lagi, peranan positif yang telah dimainkan oleh media juga telah menjadikan UTM sebagai salah satu universiti pilihan utama dalam kalangan pelajar lepasan sekolah, matrikulasi dan kolej untuk melanjutkan pengajian.

“Atas kerjasama simbiosis yang terjalin antara UTM dan juga organisasi media, pihak kami akan mencuba dengan sedaya upaya kami untuk memberikan yang terbaik agar kedua-dua belah pihak beroleh manfaat bersama,” tambah beliau.

Turut hadir ialah Pendaftar UTM, Abdul Razib Hj. Shahuddin dan juga Pengarah Hal Ehwal Korporat UTM, Prof. Madya Dr. Zaleha Abdullah.

Seramai 32 orang wakil media peringkat negeri Johor telah menghadiri majlis makan malam itu. Sebuah plak penghargaan turut dihadiahkan kepada wakil media yang hadir.

Pelbagai jenis hadiah seperti televisyen, telefon pintar, barangan elektrik turut disediakan penganjur untuk dibawa pulang oleh penerima yang bertuah.

Naib Canselor UTM, Prof. Datuk Ir. Dr. Wahid Omar bergambar bersama wakil media negeri Johor di penutup Majlis Apresiasi Media 2019 yang berlangsung di JCSC malam tadi.
Jurukamera dari Astro menerima hadiah cabutan bertuah paling istimewa iaitu sebuah televisyen
Antara tetamu yang hadir sedang mengambil makanan
Naib Canselor UTM, Prof. Datuk Ir. Dr. Wahid Omar semasa ucapan alu-aluan
Antara plak penghargaan yang disediakan

 

Explore More