April 24, 2024

Search
Close this search box.

JOHOR BAHRU, 19 Dis. 2019 – Universiti Teknologi Malaysia (UTM) membuktikan pelajar dan komunitinya amat mengambil berat dan prihatin dengan nasib mangsa-mangsa bencana terutamanya terhadap komuniti sekitar kampus.

Terbaharu, UTM telah bersama 80 sukarelawan yang terdiri daripada warga universiti termasuk pelajar telah menyertai misi bantuan banjir di Tanjung Sedili.

Timbalan Pendaftar Kanan Jabatan Timbalan Naib Canselor (HEP), Tuan Hj. Dahari Hj. Derani, berkata menerusi misi bantuan banjir ini, sukarelawan UTM memberi bantuan pembersihan kepada mangsa terjejas.

“Kami turut berbesar hati menerima tajaan makanan tengah hari daripada Pejabat Menteri Besar Johor,”katanya pada majlis pelepasan Misi Bantuan Banjir di Bangunan Galeria Siswa, hari ini.

“Kami juga bekerjasama dengan Kolej Yayasan Pelajaran Johor dan Kolej Universiti Islam Johor”, katanya lagi.

Pada majlis itu, beliau melakukan pelepasan konvoi sukarelawan warga UTM yang terdiri daripada dua bas, satu van, satu pajero dan satu pasukan perubatan ke Tanjung Sedeli. Turut hadir, Pengarah Pembangunan Aktiviti Pelajar HEP, PM. Dr. Azlan Abdul Latib dan pegawai HEP.

Timbalan Naib Canselor HEP, YBrs. Prof. Dr. Durrishah Idrus, turut menyampaikan amanat kepada konvoi berkenaan walaupun berada di luar kawasan.

Beliau mengingatkan semua sukarelawan agar bersikap profesional, mesra dan prihatin selain turut sentiasa mengutamakan keselamatan diri dan bersungguh-sungguh dalam membantu mangsa banjir.

Menurut Dr. Azlan, pelajar yang menyertai misi bantuan banjir ini akan diberikan merit yang akan dimasukkan dalam Sistem Aktiviti Pelajar, MyUTM.

Pemberian merit berkenaan adalah sebagai tanda sokongan universiti ke atas pelajar yang mempunyai semangat kesukarelawan yang tinggi dalam memberi bantuan kepada masyarakat dan negara.

Sukarelawan siswa UTM mendengar taklimat di Dewan Sri Teratai, Kuala Sedili, Kota Tinggi, Johor.
Timbalan Pendaftar Kanan HEP, Hj Dahari Derani (kiri sekali) ketika menyertai wakil penduduk tempatan memberikan taklimat ringkas kepada sukarelawan UTM di Dewan Sri Teratai, Kuala Sedili.
Sukarelawan Pasca-Banjir UTM bergambar di hadapan pusat operasi bantuan pasca-banjir Kuala Sedili, Kota Tinggi, Johor.

Explore More