April 26, 2024

Search
Close this search box.

JOHOR BAHRU,  18 Dis. — Satu majlis menandatangani dokumen perjanjian persefahaman (MoU) antara Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan Damansara Assets Sdn Bhd (DASB) telah diadakan di Bilik Mesyuarat  1, B12 Fakulti Alam Bina dan Ukur, UTM Johor Bahru untuk menjalankan aktiviti-aktiviti pembangunan akademik, latihan, penyelidikan & penerbitan dan lain-lain yang melibatkan pengurusan harta tanah.

Majlis tersebut telah disempurnakan oleh Timbalan Naib Canselor (Akademik & Antarabangsa) UTM, Y. Bhg. Prof. Ir. Ts. Dr Zainuddin bin Abd Manan bersama Pengarah Eksekutif Damansara Assets Sdn Bhd, Y.Bhg Tn Hj Yusaini bin Hj Sidek dan telah dihadiri oleh Yang Berbahagia Sr Dr. Mohd Nadzri bin Jaafar, Pengarah (Harta Tanah) Fakulti Alam Bina dan Ukur, barisan pengurusan kanan Damansara Assets Sdn Bhd serta pegawai-pegawai kanan UTM dan Fakulti Alam Bina dan Ukur.

TNC (A&A) dalam ucapannya menyebut bahawa matlamat utama perjanjian persefahaman ini adalah untuk mewujudkan kerjasama dan kolaborasi untuk menjalankan aktiviti-aktiviti terutamanya bagi tujuan memberi latihan kepada pelajar-pelajar jurusan Ijazah Sarjana Muda Sains (Harta Tanah) dan Ijazah Sarjana Muda Sains (Pentadbiran dan Pembangunan Tanah) melalui penempatan latihan industri dan juga melalui Program Perantis Profesional Harta Tanah yang merupakan program satu tahun latihan bagi graduan-graduan yang sebelum dipertimbangkan untuk tawaran pekerjaan.

Selain itu, kerjasama ini juga melibatkan perkongsian kepakaran dan pengalaman dalam bidang penyelidikan, penerbitan dan pengajaran.

Damansara Assets Sdn Bhd adalah anak syarikat milik penuh Johor Corporation.

Aktiviti utamanya adalah pengurusan hartanah komersil iaitu pusat beli belah dan menara pejabat. Damansara Assets Sdn Bhd menguruskan kira-kira 3 juta kaki persegi ruang komersil yang terletak di Johor dan Kuala Lumpur yang dimiliki oleh Kumpulan Johor Corporation dan Al-Salam REIT iaitu KOMTAR JBCC, Menara KOMTAR, Pasaraya Komuniti @mart Kempas, Bangunan MCHM College, Galleria@Kotaraya, Pusat Perniagaan Taman Dahlia, Larkin Sentral, Menara Ansar, Menara VSQ, Menara JCorp, Menara KPJ, Jeti Tanjung Leman and Tanjung Leman Beach Resort. Di samping itu, DASB merupakan pemilik Angry Birds Activity Park, Johor Bahru.

Berdasarkan MoU tersebut, kerjasama strategik antara UTM dan DASB ini melibatkan perkongsian kepakaran dan pengalaman dalam bidang pengurusan harta tanah melalui latihan, penyelidikan, penerbitan dan pengajaran diantara kedua-dua pihak.

Pendedahan kepada pelajar melalui kerjasama ini akan memberikan satu nilai tambah kepada pihak UTM dalam membekalkan tenaga sumber manusia yang memenuhi keperluan pihak industri dan selari dengan hasrat UTM untuk meningkatkan jaringan kerjasama dengan industri.

Memorandum ini akan terus berkuatkuasa selama 5 tahun dengan kerjasama dan persetujuan antara Damansara Assets Sdn Bhd dan UTM. Keseluruhan pelaksanaan Projek ini akan diketuai oleh Tn Haji Yusaini bin Hj Sidek atau penggantinya dari Damansara Assets Sdn Bhd. dan Dr Mohd Nadzri bin Jaafar atau penggantinya dari UTM.

Explore More