Pada hari jumaat yang lalu iaitu 15 November 2019 , Psychology Interactive Club (Psychic) telah mengadakan satu jamuan makan malam yang diberi nama “Psychic Gala Night 2019” yang bertempat di Dewan Banquet, Bangunan Canselori Sultan Ibrahim, UTM.
Majlis tersebut diuruskan oleh seramai 34 orang krew yang diketuai oleh saudara Raja Farid Iskandar Bin Raja Shamsul, yang merupakan pelajar tahun 3 Psikologi.
Tujuan makan malam tahunan ini diadakan adalah untuk meraikan pelajar tahun 4 yang bakal mengikuti latihan industri pada semester hadapan selain bertujuan untuk menghimpunkan keseluruhan pelajar Psikologi dan Pembangunan Sumber Manusia UTM.
Majlis makan malam ini disempurnakan dengan perasmian oleh pengerusi Sekolah Pembangunan Sumber Manusia dan Psikologi (SHARPS) iaitu Prof. Madya Dr Siti Aisyah Binti Panatik serta mendapat sambutan yang begitu menggalakkan apabila dihadiri oleh seramai 232 orang pelajar tahun satu hingga empat, para pensyarah dan juga alumni.
Dengan bertemakan “Black and White”, suasana makan malam tersebut meriah dengan pelbagai jenis pakaian yang menarik dan memukau. Majlis dihiasi dengan pelbagai jenis persembahan dari wakil pelajar tahun 1, tahun 2, tahun 3 dan tahun 4 dan persembahan yang paling memukau adalah persembahan dari wakil pensyarah iaitu Dr. Mohammad Saipol yang menyanyikan sebuah lagu.
Majlis juga dihiasi dengan penyampaian beberapa anugerah kepada pelajar seperti anugerah kepada mantan exco sesi 18/19, anugerah pelajar terbaik akademik, anugerah pelajar terbaik sukan dan juga anugerah pengarah dan program terbaik.
Anugerah tersebut disampaikan sendiri oleh Prof. Madya Dr. Siti Aisyah dimana para pemenang dipilih berdasarkan beberapa kriteria yang telah ditetapkan. Selain itu, ada juga sesi cabutan bertuah dan penyampaian “King and Queen of the night”.
Majlis yang bermula jam 8.30 malam itu berakhir pada jam 11.30 malam dan berjalan dengan lancar sehhingga ke akhir.
Majlis seperti ini diharapkan mampu untuk mengeratkan hubungan silaturahim antara semua pelajar Psikologi.