April 18, 2024

Search
Close this search box.

BANDAR ENSTEK, 28 Nov. — Universiti Teknologi Malaysia (UTM) buat julung kalinya menganjurkan persidangan antarabangsa, “Erasmus+: Strategic Intellectual Property Management for Effective Research & Innovation in Asian Higher Education (SPIRE)” bermula 28 sehingga 29 November 2019 di Akademi Kepimpinan Pendidikan Tinggi (AKEPT), di sini.

SPIRE merupakan kerjasama biayaan European Union di bawah geran Erasmus bagi mencapai objektif memperkasa pengurusan harta intelek (IP) di peringkat seluruh Institusi Pengajian Tinggi (IPT), selain meluaskan rangkaian kerjasama antara semua pengurus IP di peringkat Asia melalui penubuhan sistem pengurusan pengkomersialan IP berpusat.

Merupakan penutup kepada rangkaian program pembiayaan European Union bawah program Erasmus sejak tiga tahun lepas, negara anggota yang terlibat ialah Malaysia, Indonesia, Itali, Sepanyol, Republik Czech, Filipina dan Thailand.

Dengan penglibatan penyelidik-penyelidik terkemuka dunia yang pakar dalam memperkasakan ekosistem inovasi dan pengkomersilan melalui pelbagai inisiatif strategik dan rangkaian kerjasama, program ini berjaya mencapai objektifnya sebagai platform perkongsian pengetahuan dan pengalaman selain telah meneroka rangkaian kerjasama dan perpindahan teknologi baru dalam landskap akademik.

Dalam usaha menggalakkan hubungan antara pihak berkepentingan dalam pemindahan teknologi serantau, ia juga berjaya memaksimumkan impak terhadap perkongsian berkaitan kepentingan pembudayaan inovasi dan penjanaan pendapatan terhadap hasil penyelidikan.

Bertemakan “Pemerkasaan Kreativiti Pengeksploitasian Harta Intelek”, program persidangan tersebut membincangkan topik berkaitan kepentingan kreativiti dalam pembangunan harta intelek tempatan dan antarabangsa selain peranan yang perlu dimainkan oleh semua pemegang taruh secara Kuadruple Helix, kerajaan, universiti, industri dan masyarakat.

Penolong Ketua Pengarah (Pentadbiran & Kewangan) Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO), Tuan Sh. Ariffin bin Sh. Mohd Noor, mewakili Ketua Pengarah, YBhg Dato’ Mohd Roslan Bin Mahayudin dan Ketua Pengeksploitasian Harta Intelek, University of Bologna, Itali, Andrea Ravaioli telah dijemput menyampaikan ucaptama bagi persidangan tersebut.

Turut hadir ialah Pro-Naib Chancelor, UTM Kampus Kuala Lumpur, Prof. Dr. Shamsul bin Sahibuddin.

Program dua hari tersebut diteruskan dengan program persidangan dan jamuan makan gala dan disambung dengan perbincangan meja bulat bersama wakil-wakil universiti di peringkat Asia bagi membincangkan hasrat penubuhan konsortium pengurus-pengurus IP dalam kalangan IPT.

Mesyuarat tersebut disertai oleh wakil daripada Innovation and Technology Managers of Malaysia (ITMA) yang mengetuai perbincangan bagi mencapai hala tuju penyatuan konsortium di peringkat Asia.

Tujuan utama penubuhan konsortium pengurus-pengurus IP dalam kalangan IPT di peringkat Asia diharap dapat terus mempertingkatkan usaha pengeksploitasian yang lebih kreatif mengikut garis panduan yang akan dirujuk kepada akta dan polisi pengkome rsialan IP sedia ada bagi setiap negara yang terlibat.

Prof Shamsul, dua dari kanan menyampaikan cenderahati kepada Penolong Ketua Pengarah (Pentadbiran & Kewangan) Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO), Tuan Sh. Ariffin bin Sh. Mohd Noor
Prof Shamsul menyampaikan cenderahati kepada Ketua Pengeksploitasian Harta Intelek, University of Bologna, Itali, Andrea Ravaioli

 

Persidangan antarabangsa, “Erasmus+: Strategic Intellectual Property Management for Effective Research & Innovation in Asian Higher Education (SPIRE)” di Akademi Kepimpinan Pendidikan Tinggi (AKEPT), Bandar Enstek, Labu, Negeri Sembilan.

Explore More