Mei 2, 2024

Search
Close this search box.

JOHOR BAHRU, 27 Nov.  — Intan Noor Liana Kamaruzzaman telah mencipta kenangan manis tahun ini apabila diumumkan sebagai penerima Anugerah Naib Canselor dalam Majlis Anugerah Gemilang Mahasiswa (GEMA) 2019.

Intan Noor Liana menerima anugerah tersebut dari Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Mahasiswa (HEP), Prof. Dr. Durisshah Idrus dalam majlis yang berlangsung di KSL Hotel, Johor Bahru malam tadi.

Turut hadir ialah Timbalan Pendaftar Kanan Pejabat Hal Ehwal Pelajar, Hj. Dahari Derani.

Selain Anugerah Naib Canselor turut juga diberikan adalah Anugerah Timbalan Naib Canselor (HEP) yang dimenangi oleh Shamsul Azli Shamsuray selaku Felo Kolej Tun Hussein Onn. Beliau secara aktifnya telah terlibat dalam pengurusan dan pelaksanaan aktiviti pelajar di peringkat kolej mahupun di luar kampus.

Pengarah program GEMA 2019, Nazran Afiq Ismadi berkata aktiviti ini diadakan bagi mengiktiraf segala usaha dan sumbangan pelbagai persatuan, kelab dan Jawatankuasa Kolej Mahasiswa (JKM) yang telah menganjurkan pelbagai aktiviti sepanjang tahun 2019.

“GEMA 2019 juga adalah satu platfom bagi memberikan motivasi kepada pihak-pihak yang terlibat bagi memberikan motivasi kepada Persatuan, Kelab, JKM, Mahasiswa untuk terus mencapai kecemerlangan dan berusaha menjadi yang terbaik.

Program ini juga hendaklah dianggapkan sebagai landasan mewujudkan persaingan yang sihat untuk melaksanakan aktiviti secara sistematik serta memberi kesan kepada negara, organisasi, masyarakat dan individu,”katanya.

Tahun 2019 juga menyaksikan buat pertama kalinya anugerah ini dibuka kepada mahasiswa pasca siswazah dan penyertaan yang sangat menggalakkan dari mahasiswa di peringkat pengajian ijazah Sarjana dan juga Doktor Falsafah (PhD).

Daripada jumlah keseluruhan pencalonan seramai 326 orang (termasuk pencalonan dari kalangan staf yang terlibat dalam pembangunan aktiviti pelajar) hanya 64 orang sahaja mahasiswa terpilih untuk menjalani temuduga yang telah berlangsung selama dua hari bermula pada 12 hingga 13 November 2019 yang lalu.

Sebanyak 25 anugerah yang dipertandingkan pada GEMA 2019 yang merangkumi 16 Anugerah Kepimpinan, empat Anugerah Kesukarelawanan dan lima Anugerah Khas.
Intan Noor Liana, mahasiswa tahun tiga Ijazah Sarjana Muda Sains (Fizik Industri), Fakulti Sains merupakan Pengarah Advanced Adventure Leadership (ADLEAD) yang dianjurkan oleh Kelab Mahasiswa Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (PEMADAM) UTM pada 24 hingga 27 Februari 2019 di UTM dan Singapura.

Program ini turut mendapat kerjasama PEMADAM Negeri Johor, PEMADAM kebangsaan dan Yayasan Mendaki, Singapura.

Dengan kemenangan ini, Intan Noor Liana membawa pulang Trofi, wang tunai RM1,000.00 dan sijil penghargaan.

Intan Noor Liana (kanan) menerima Anugerah Naib Canselor daripada Prof. Durrishah pada majlis GEMA 2019.

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

Gambar : Ihsan Jabatan HEP UTM

Explore More