JOHOR BAHRU, 2 Dis. — Sebuah alat penapis air minuman mampu milik mesra alam berasaskan bahan seramik sekam padi telah berjaya dibangunkan oleh sekumpulan penyelidik dari Pusat Penyelidikan Teknologi Membran Termaju (AMTEC), Universiti Teknologi Malaysia (UTM).

Alat penapis yang dipanggil ‘Rice Husk (RH) Straw’ itu dihasilkan dari bahan seramik sekam padi dengan menggunakan kaedah penyonsangan fasa. Kelebihan produk ini adalah ianya berharga murah serta tidak menggunakan sebarang tenaga elektrik, kukuh dan ringan.

Pengarah AMTEC, Prof. Madya Dr. Mohd. Hafiz Dzarfan berkata keperluan manusia yang sentiasa memerlukan sumber air bersih sama ada untuk kegunaan harian atau sedang menghadapi bencana tidak dapat dinafikan lagi.

“Namun begitu, status sumber air bersih kini amatlah membimbangkan kerana telah dicemari oleh bakteria dan bahan pencemar alam. Oleh yang demikian, penggunaan membran dalam usaha merawat air tercemar ini merupakan suatu jalan penyelesaian yang inovatif terhadap masalah ini.

Membran yang dihasilkan kemudiannya akan dipersembahkan dalam bentuk modul yang membolehkan ia digunakan terus sebagai penapis air,” katanya lagi.

Dr. Hafiz berkata sebagai ahli akademik dan saintis adalah menjadi tanggungjawabnya untuk mencari jalan penyelesaian yang lebih baik untuk kegunaan masa akan datang dengan kos yang realistik.

“Teknologi membran telah terbukti sebagai suatu kaedah yang paling berkesan untuk menangani isu pencemaran air pada masa kini kerana bahan ini berkebolehan untuk menyingkirkan bahan-bahan kimia yang berbahaya dalam air secara langsung untuk memastikan air tersebut adalah selamat untuk diminum.

Membran seramik mempunyai kadar penyingkiran yang lebih efisyen jika dibandingkan dengan membrane polimer sedia ada dan ia telah lama dikenali dengan ciri-cirinya yang lebih baik walaupun harganya sedikit tinggi,”katanya.

Dengan harga mampu milik semurah RM50.00 kerana penggunaan bahan seramik dari sisa buangan yang murah, alat ini juga berkeupayaan untuk menahan keadaan yang ekstrim seperti suhu tinggi dan bahan kimia serta mempunyai jangka hayat melebihi 8 tahun.

Ciptaan ini telah menerima beberapa pengiktirafan tempatan dan antarabangsa. Antara anugerah yang dimenangi termasuk Hitachi Scholarship Research Support Program 2018, Kurita Water and Environment Foundation dan Nippon Sheet Glass Foundation for Materials Science and Engineering.

Tambahan lagi, ciptaan ini telah terpilih untuk menerima bimbingan daripada World Intellectual Property Organization (WIPO) dibawah program Enabling IP Environment (EIE).

Selain itu, inovasi ini juga telah mendapat pingat emas di PECIPTA 2019 yang diadakan di Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Batu Pahat, Johor pada 22 hingga 23 September 2019.

Alat ini telah dibangunkan oleh 11 orang penyelidik yang diketuai oleh Prof. Madya Ts. Dr. Mohd. Hafiz Dzarfan Othman dan dibantu oleh Dr. Siti Khadijah Hubadillah, Tai Zhong Sheng, Nurul Jannah Ismail, Mohammad Arif Budiman Pauzan, Mohd Ariff Azali, Dr. Mohd Hafiz Puteh, Prof. Madya Dr. Mukhlis A. Rahman, Prof. Madya Dr. Juhana Jaafar, Prof. Datuk Ts. Dr. Ahmad Fauzi Ismail, Ts. Mohd. Sohaimi Abdullah.

Antara kegunaan RH Straw iaitu semasa kecemasan, melancong, mendaki dan juga lain-lain aktiviti.

Reka bentuk RH Straw yang ringkas, bebas dari penggunaan bateri, ringan dan mudah untuk dibawa kemana-mana.

Penapis RH Straw yang dipasang terus pada botol air minuman.

Prof. Madya Dr. Mohd. Hafiz Dzarfan (tiga kiri) bersama-sama dengan kumpulan penyelidik yang membangunkan alat penapis air minuman RH Straw.