Program pendidikan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) peringkat negeri Johor melalui kaedah mentor-mentee telah dilaksanakan pada tahun 2019. di mana mengandungi lima siri bimbingan berterusan melibatkan aktiviti bersama antara pelajar universiti dan pelajar sekolah.
Ia juga bertepatan dengan matlamat memperkayakan proses pembelajaran pelajar menerusi bimbingan yang berstruktur dan terarah dengan harapan pelajar sekolah yang terlibat dapat meningkatkan pengetahuan, kemahiran dan minat dalam asas sains dan matematik agar mereka akan seterusnya menfokuskan pilihan pembelajaran dalam bidang STEM.
Program Mentor-Mentee STEM tersebut berjaya dilaksanakan melalui sinergi dan kerjasama antara Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (MESTECC) dan Jabatan Pendidikan Negeri Johor yang disokong oleh National STEM Movement dan American Chemical Society Malaysia Chapter. Untuk tahun pertama pelaksanaan, SMK Taman Nusa Jaya, Gelang Patah telah dipilih sebagai sekolah rintis untuk negeri Johor.
Secara khusus, program ini dibangunkan berasaskan sistem bimbingan dan penyeliaan yang berkala dalam jangka masa panjang. Pelajar universiti dilibatkan sebagai mentor kepada mentee yang merupakan pelajar daripada sekolah terpilih. Manakala, pensyarah universiti dan guru sekolah pula dilantik sebagai fasilitator.
Satu majlis penutup program Mentor-Mentee STEM bagi tahun 2019 juga telah dianjurkan pada 6 November 2019 bertempat di Fakulti Sains, Universiti Teknologi Malaysia. Majlis tersebut telah dihadiri oleh Dekan Fakulti Sains, Prof. Dr. Abdull Rahim Mohd Yusoff bersama Tuan Haji Zulkapli Ayob yang merupakan Ketua Penolong Pengarah Sains Dan Matematik Jabatan Pendidikan Negeri Johor dan Prof Mayda Dr. Zaiton Abdul Majid sebagai penyelaras program.
Bagi UTM, program ini adalah menepati aspirasi Kementerian Pendidikan Malaysia yang telah melancarkan inisiatif “Sekolahku Universitiku”.
Antara lain, inisiatif ini adalah sebagai salah satu usaha menggalakkan pelajar dan universiti untuk membantu pembangunan akademik di sekolah yang terpilih mengikut bidang dan keupayaan masing-masing.
Laporan oleh: Dr. Mohd Bakri Bakar