Disember 3, 2024

Search
Close this search box.

JOHOR BAHRU, 3 Nov. — Saling membantu, miliki persefahaman dalam hubungan dan amalan persaingan secara sihat antara resipi kejayaan dikongsikan sepasang suami isteri yang berjaya menamatkan pengajian mereka bersama-sama.

Lebih manis lagi apabila Shazliman Shah dan isterinya Norfahana Abdul Ghani terpilih untuk menerima ijazah masing-masing pada hari yang sama pada Majlis Konvokesyen Universiti Teknologi Malaysia (UTM) ke-63 di sini.

Pada majlis konvokesyen itu, Shazliman menerima Ijazah Sarjana dalam Bidang Pengurusan Kontrak Pembinaan manakala isterinya pula menerima Sarjana Pengurusan Projek dalam majlis konvokesyen yang berlangsung di Dewan Sultan Iskandar, UTM Johor Bahru itu.

Norfahana berkata kejayaan diperolehnya itu tidak datang bergolek sebaliknya memerlukan pengorbanan besar khususnya membabitkan pengurusan masa dengan seimbang, memandangkan kedua-dua mereka telahpun mempunyai pekerjaan masing-masing.

Shazliman berkata mereka sering bekerjasama rapat terutama dalam aspek perbincangan (pertukaran pendapat) dan juga motivasi bagi meningkatkan prestasi akademik memandangkan keduanya mengikuti jurusan yang berlainan walaupun bernaung di bawah fakulti yang sama.

“Kami beruntung kerana dapat menyambung pengajian di universiti yang sama walaupun berlainan bidang. Isteri adalah pendorong utama saya kerana kami akan bergerak bersama-sama ke kampus UTM Kuala Lumpur untuk belajar pada setiap hujung minggu.

“Saya amat memuji UTM kerana menyediakan kami platform untuk menyambung pengajian peringkat Ijazah Sarjana secara separuh masa dan juga amat mengkagumi tenaga pengajar universiti ini yang bersifat ‘menyokong’ pelajar serta amat pakar dalam bidang masing-masing,” katanya.

Ditanya mengenai nasihatnya kepada pasangan suami isteri yang masih menuntut ataupun yang sedang membuat perancangan untuk menuntut supaya berbincang dengan pasangan masing-masing sebelum membuat sebarang keputusan.

“Tidak dinafikan bahawa menjadi mahasiswa dalam keadaan yang sudah bekerja dan berumahtangga ini bukanlah seindah yang disangka.

“Pelajar harus bijak membahagikan masa antara kerjaya, rumahtangga dan juga pengajian sekiranya ingin berjaya,” katanya lagi.

Shazliman Shah (kanan) bersama isterinya, Norfahana Abdul Ghani selepas menerima ijazah masing-masing di Majlis Konvokesyen UTM ke-63 tengahari tadi.

Explore More