April 24, 2024

Search
Close this search box.

JOHOR BAHRU, 4 Nov. — Majlis Konvokesyen ke-63 (MK63) Universiti Teknologi Malaysia (UTM) masuk hari ketiga dengan penyampaian Ijazah Sarjana Muda kepada 1,663 orang lagi graduan peringkat pengajian Sarjana Muda bagi sesi keempat dan kelima.

Menariknya MK63 kali ini adalah setiap sesi diperuntukkan satu slot khas untuk wakil graduan terpilih memberi ucapan kepada rakan-rakan seperjuangan yang bergraduan bersama.

Antara graduan yang berdiri memberi tepukan gemuruh kepada ibu bapa

Bagi sesi ketiga, ucapan telah disampaikan oleh penerima Anugerah Tokoh Siswa Kebangsaan 2018, Muhamad Syafik Rahmat yang dianugerahkan Ijazah Sarjana Muda Sains Komputer (Rangkaian dan Keselamatan Komputer).

Syafik mencuri tumpuan semua apabila beliau menjemput semua graduan untuk bangun sebentar dan memberi setinggi-tinggi  penghargaan dan tepukan gemuruh kepada semua ibu bapa yang turut hadir dalam sesi konvokesyen tersebut.


Muhammad Syafik semasa sesi penyampaian ucapan beliau

 

Beliau juga turut berkongsi perasaan yang gusar pada awal pengajian atas statusnya sebagai anak orang OKU, namun, kekuatan dan semangat serta melakukan segalanya dengan sehabis baik yang ada dalam diri beliau, membuktikan tiada yang mustahil untuk mencapai kejayaan.

Sepanjang tempoh pengajian, Syafik, pelajar program ‘signature’ UTM, 5ETP telah mengharumkan nama universiti ke peringkat kebangsaan dan antarabangsa melalui pengiktirafan anugerah dan penglibatan dalam aktiviti khidmat masyarakat.

Syafik mendedikasikan kejayaan beliau kepada ibu bapa, pensyarah, rakan-rakan dan UTM sebagai tempat bernaung baginya untuk mencipta 1001 pengalaman dan menyeru semua graduan untuk bertekad menjaga nama baik UTM yang telah memberi pengalaman dan pengajaran yang cukup berguna.

“Usahlah kita malu untuk mengaku asalnya kita dari kampung, usahlah kita malu asalnya dari keluarga orang yang susah, usahlah kita malu jika kita merupakan anak orang yang cacat.

Sebaliknya, banggalah kita dengan pengalaman hidup kita ini kerana tidak semua orang dapat merasakannya cabaran hidup yang sebegini,”

Muhammad Syafik

Terima kasih tidak terhingga kami ucapkan buat barisan pensyarah. Kami sedar, bukanlah mudah untuk memanusiakan manusia seperti kami untuk menjadi insan berguna pada masyarakat, industri mahupun negara.

Kami tahu, para pendidik sering kali berhadapan dengan pelbagai cabaran dalam mencorak keperibadian kami pada hari ini. Pensyarah umpama segala-galanya disini bagi kami selepas ayahanda dan bonda. Terima kasih atas segala pengorbanan dan ketabahan kalian dalam mendidik kami.

Penerima Anugerah Menteri Pendidikan yang membawa gelaran Tokoh Siswa Kebangsaan 2018, Muhamad Syafik Rahmat berkata untuk mencapai matlamat ingin berjaya itu bukanlah suatu perkara mudah.

“Sentiasa mengingati matlamat utama ke universiti untuk memperbaiki pencapaian diri, membanggakan keluarga dan seterusnya menyumbang kepada masyarakat adalah kunci utama berjaya menamatkan pengajian dengan jayanya.

Perjalanan untuk merealisasikan objektif itu bukanlah suatu perkara yang mudah. Pasti kita akan melalui pelbagai rintangan, halangan serta pengorbanan kerana itulah harga yang perlu kita bayar untuk berjaya dan mencipta sejarah.

“Walaupun kadangkala tidak semua orang akan faham akan perkara yang kita perjuangkan dan mungkin juga ada yang memandang sinis kepada kita tetapi percayalah, itulah yang harus dijadikan kekuatan untuk kita buktikan hasilnya kepada mereka kelak,” katanya.

Beliau menerima anugerah berkenaan dari Menteri Pendidikan Malaysia, YB Dr. Maszlee Malik dalam majlis Anugerah Tokoh Siswa (ATS) 2018 yang berlangsung di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) pada 30 Mac 2019.

Muhamad Syafik berkata beliau mula aktif dalam persatuan pelajar sejak enam tahun lepas sewaktu menuntut di UTM kampus Kuala Lumpur lagi. Sewaktu itu beliau menyertai Jawatankuasa Kolej Mahasiswa (JKM) Kolej Siswa Desa Jaya dan juga Persatuan Pencak Silat UTM.

“Aktif dalam kegiatan kurikulum ini berterusan sehinggalah saya berpindah ke kampus UTM Johor Bahru kerana menyambung pengajian peringkat ijazah sarjana muda. Di sini saya menyertai Kelab Mahasiswa Anak Johor sebagai Presiden (peringkat UTM dan Kebangsaan) di samping menyertai Kelab 5 ‘Excellent Track Programme’ atau 5ETP sebagai Timbalan Presiden serta sebagai Timbalan Presiden JKM Kolej Tun Dr. Ismail,”katanya lagi.

Mengulas mengenai aktiviti pembelajarannya sewaktu bergelar mahasiswa, Muhammad Syafik berkata beliau biasanya pulang lewat ke kolej kediamannya kerana terlibat dengan pelbagai mesyuarat persatuan.

“Apabila pulang sahaja ke bilik, saya akan merujuk kepada portal e-learning UTM untuk melihat kembali nota-nota yang diajar di kelas yang mana saya terlepas kerana terlibat dalam mesyuarat kurikulum.

“Saya juga akan mengulangkaji semula pelajaran dan menyiapkan semua tugasan yang perlu sehingga mencecah jam dua hingga tiga pagi. Ini adalah perkara biasa di mana sebagai ketua persatuan, kita haruslah berkorban masa dan tiada apa yang perlu dirungutkan,” katanya.

Muhamad Syafik Rahmat (empat kiri) bersama ahli keluarganya selepas menghadiri Majlis Konvokesyen UTM ke-63 pagi tadi.

Muhamad Syafik kini berkhidmat sebagai felo kepada Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Yang Berhormat Zuraida Kamaruddin di pejabat menteri berkenaan di Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan Putrajaya.

Turut berkongsi kegembiraan ialah atlet bola jaring negara, Nurfariha Abdul Razak yang juga muncul antara graduan cemerlang dalam Majlis Konvokesyen ke-63 UTM.

Beliau yang sedang membuat persiapan rapi bersama skuad bola jaring negara bagi menghadapi Sukan SEA di Filipina tidak lama lagi, dinobatkan sebagai penerima Anugerah Cemerlang Pingat Emas Tun Fatimah Hj. Hashim pada sesi pertama majlis yang disempurnakan oleh Tuanku Permaisuri Johor, Duli Yang Maha Mulia Raja Zarith Sofiah binti Almarhum Sultan Idris Shah.

Beliau yang juga merupakan pelajar program ‘signature’ UTM iaitu 5 Excellence Tracks Programme (5ETP) dianugerahkan Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Teknologi dalam Majlis Konvokesyen ke-63 UTM yang berlangsung selama empat hari dari 2 hingga 5 November 2019.

Seramai 2,854 graduan UTM menerima Ijazah Sarjana Muda dan Diploma masing-masing dalam majlis yang berlangsung di Dewan Sultan Iskandar, UTM Johor Bahru.

Untuk rekod, pelajar-pelajar 5ETP kerap mendominasi anugerah-anugerah utama dalam Majlis Konvokesyen UTM yang lalu antaranya Foo Shi Hao (Anugerah Pelajaran DiRaja 2015), Siti Aishah Reduan (Anugerah Naib Canselor 2015), Jason Ang Wei Lung (Anugerah Naib Canselor 2018), Wan Nur Izzaty (Anugerah Naib Canselor 2018) dan Aina Hazimah Bahaman (Anugerah Institut Kimia Malaysia 2018).

Atlet kelahiran Johor Bahru ini merupakan tonggak skuad bola jaring negara yang memenangi pelbagai kejuaraan antaranya Kejohanan Bola Jaring Asia di Thailand pada 2016, Temasya Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 dan Sri Lanka Invitational Netball Tournament 2018 selain pernah memenangi anugerah pemain terbaik dalam beberapa pertandingan peringkat kebangsaan dan antarabangsa.

Nurfariha bersama Anugerah Cemerlang Pingat Emas Tun Fatimah Hj. Hashim yang diterimanya

Bagi Nurfariha, penerimaan anugerah berkenaan pastinya sesuatu yang menjadi kenangan manis setelah terpaksa menangguhkan pengajiannya selama setahun bagi mengikuti latihan pusat sebagai persediaan menghadapi temasya temasya Sukan SEA ke 29 yang telah berlangsung di Kuala Lumpur pada tahun 2017.

Beliau yang merupakan graduan Sarjana Muda Pengurusan (Teknologi) berjaya membantu pasukan bola jaring negara merangkul pingat emas temasya sukan berkenaan.

Menurut Nurfariha, beliau perlu berkorban kerana komitmen sebagai atlet negara menuntut beliau meluangkan masa yang lebih di lapangan sukan sehingga menyebabkan beliau perlu berhempas pulas menyiapkan tugasan pengajian lebih awal berbanding rakan-rakan yang lain.

“Pembahagian masa merupakan antara cabaran terbesar bagi saya seperti perlu menghadiri latihan pusat di Kuala Lumpur selama seminggu setiap bulan, namun bagi saya, sekiranya kita mahukan sesuatu, kita perlulah berusaha untuk mendapatkannya”, kata beliau.

Muhammad Syafik dan Nurfariha adalah antara 4,390 orang graduan yang menerima ijazah dalam pelbagai peringkat pengajian dalam Majlis Konvokesyen ke-63 UTM bermula 2 sehingga 5 November 2019.

Explore More