April 25, 2024

Search
Close this search box.

JOHOR BAHRU, 5 Nov. — Seorang pelajar orang kurang upaya (OKU) bertekad untuk mengubah nasib keluarga dengan mencapai impiannya yang ingin bergelar sebagai siswazah universiti dan seterusnya mendapat pekerjaan yang baik.

Muhamad Arif Hakimi bersama skrol diploma yang telah diterimanya pada Majlis Konvokesyen UTM ke-63 yang berlangsung di Dewan Sultan Iskandar, kampus Johor Bahru.

Muhamad Arif Hakimi, 21, yang dilahirkan sebagai orang kerdil adalah diantara 4,390 orang graduan yang berjaya menamatkan pengajian dan menerima ijazah dan diploma masing-masing di Majlis Konvokesyen ke-63, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) di sini, hari ini.

Dengan memiliki ketinggian kira-kira tiga kaki, Muhamad Arif berkata meskipun ada kekurangan yang amat nyata pada dirinya, itu bukan alasan untuk tidak mahu berusaha dan seterusnya mengubah nasib keluarga dengan mencabar diri menjadi individu berjaya.

“Saya mahu membalas jasa ayah (Ariffin Abu Hasan) dan juga ibu (Faridah Samad) yang telah bersusah payah melahir dan membesarkan saya serta empat orang adik beradik yang lain.

“Ini menyebabkan saya berusaha keras untuk mengubah nasib keluarga dan menjadi orang yang berjaya,” katanya yang bergraduat dengan Diploma Sains Komputer (Multimedia) dalam majlis konvokesyen itu.

Beliau ditemui selepas menghadiri majlis konvokesyen universiti itu yang berlangsung di Dewan Sultan Iskandar, kampus UTM Johor Bahru. Turut hadir, Naib Canselor UTM, Prof. Datuk Ir. Dr. Wahid Omar.

Muhamad Arif Hakimi yang berasal dari Bayan Lepas, Pulau Pinang ini juga melahirkan kesyukuran kerana berpeluang untuk menyambung pengajiannya di UTM sehingga memperolehi diploma.

“Universiti ini bukan sahaja gah di serata dunia tetapi juga bersifat mesra OKU. Saya akui banyak kemudahan disediakan supaya pergerakan mahasiswa yang kurang upaya seperti kami dipermudahkan.

“Saya juga terharu dengan sokongan moral daripada rakan-rakan sepengajian dan juga tenaga pengajar yang bersifat profesional dan sentiasa membantu saya di sepanjang pengajian di kampus,” katanya lagi.

Selain Muhamad Arif, turut berkongsi  kegembiraan ialah pasangan kembar seiras Amera Shahfizah binti Hasan dan Amera Shahfiqah binti Hasan, 21 yang beroleh Diploma Pengurusan Teknologi (Perakaunan).

Tidak boleh berpisah bukan bermakna mereka tidak berdikari namun inilah yang menjadi kunci kejayaan kerana keakraban itulah yang mendorong kejayaan pasangan kembar tersebut.

Perkara ini juga menjadi kekuatan mereka kerana mereka akan sentiasa meluangkan masa bersama-sama tidak kira dari segi belajar, berkongsi masalah dan sentiasa memberi semangat kepada satu sama lain.

Saling menyokong dan berkongsi pendapat antara mereka, Amera Shahfizah berkata sebagai kembar, mereka memang mempunyai idea yang sama dan pendapat yang sama dari gerak hati masing-masing namun perkara ini apabila dikongsi, mereka akan mempelbagaikan idea mengikut kreaktiviti demi memastikan agar hasil tugasan tetap berbeza.

Berkongsi pengalaman lucu apabila mereka sentiasa mempunyai masalah bila tiba waktu peperiksaan kerana disebabkan wajah yang seiras tersebut, salah seorang dari mereka tidak dibenarkan mengambil slip peperiksaan kerana petugas menyangkakan mereka adalah orang yang sama.

Pasangan kembar seiras Amera Shahfizah binti Hasan dan Amera Shahfiqah binti Hasan bersama ibu bapa mereka setelah tamat Majlis Konvokesyen UTM ke-63

“Kami juga sentiasa menyakat rakan-rakan serta pensyarah kerana wajah kami yang sukar untuk mereka bezakan, sebagai contoh bertukar watak semasa dalam kelas,” kata Amera Shahfiqah.

Pasangan kembar tersebut merancang untuk menyambung pengajian dalam bidang Perakaunan.

Muhamad Arif dan pasangan kembar tersebut merupakan antara 657 orang lagi graduan yang menerima penganugerahan Diploma bagi Majlis Konvokesyen UTM ke-63 yang telah masuk hari terakhir.

Explore More