Mei 8, 2024

Search
Close this search box.

Pasukan Robocon Universiti Teknologi Malaysia (UTM) mengukir kenangan manis apabila diumumkan sebagai pemenang tempat pertama (Johan) dalam pertandingan ‘University Robot Competition : Kingdom of Champions’ atau URock 2019 anjuran Universiti Malaysia Perlis (UniMAP).

UTM juga berjaya muncul sebagai pemenang tempat ketiga dalam kategori sama (Coorperative Robot Challenge) dan membawa pulang hadiah kemenangan berupa wang tunai berjumlah RM1,750.00 di samping hadiah utama RM2,500.00 menjadikan jumlah keseluruhan hadiah wang kemenangan iaitu RM4,250.00.

Pengurus Pasukan UTM, Prof. Madya Ir. Dr. Mohd. Ridzuan Ahmad berkata pertandingan URock 2019 mempertandingkan tiga kategori utama iaitu ‘Drone Delivery Challenge’, ‘Legged Robot Race’ dan juga ‘Coorperatives Robot Challenge’.

Setiap kategori mempunyai cabarannya sendiri dan peserta dikehendaki membina robot yang bersesuaian dengan kategori yang dipertandingkan.

“Bagi kategori yang disertai UTM para peserta dikehendaki mengawal robot masing-masing (lebih sebuah robot bagi setiap pasukan) bagi menjalankan tugasan menjatuhkan kon yang disediakan dan kemudian mengambil bendera yang disediakan dalam masa yang ditetapkan.

“Ternyata tuah menyebelahi kami apabila kumpulan UTM Delta diumumkan sebagai Johan manakala kumpulan UTM Alpha pula menduduki tempat ketiga. Tempat kedua diduduki oleh kumpulan UPM B dari Universiti Putra Malaysia,” katanya.

Menyentuh mengenai hubungkait pertandingan ini dengan fenomena Revolusi Industri atau IR 4.0, Dr. Ridzuan berkata terdapat dua kesan positif yang diperolehi oleh setiap peserta yang bertanding di URock 2019 ini.

“Faedah pertama yang amat jelas adalah pendedahan mengenai ilmu dan kemahiran membina dan mengendalikan robot yang sudah semestinya memerlukan kemahiran kejuruteraan dan juga sains komputer yang tinggi.

Pendedahan ini sekaligus membuka minda para mahasiswa ini mengenai kemahiran yang perlu dikuasai dan juga keyakinan tinggi sebelum menyertai bidang pekerjaan sebagai jurutera robotik kelak,” katanya.

Faedah kedua pula menurutnya lagi adalah memupuk sikap bekerjasama di kalangan ahli kumpulan dalam mencapai objektif yang ditetapkan iaitu memenangi pertandingan ini.

“Pertandingan ini bukannya semata-mata bertanding dan menang tetapi juga juga mempunyai elemen-elemen berbentuk motivasi yang dapat membentuk sahsiah bakal graduan bidang ini sebelum ‘terjun’ ke alam pekerjaan kelak,” katanya lagi.

Pasukan UTM telah dibarisi oleh seramai 17 orang mahasiswa dari Fakulti Kejuruteraan yang terdiri dari mahasiswa jurusan Kejuruteraan Mekanikal dan juga Sains Komputer.

Kumpulan Delta dan Alpha dari UTM sewaktu menyertai pertandingan URock 2019 di UniMAP baru-baru ini. Kedua-dua kumpulan ini mencatat kenangan manis apabila berjaya muncul sebagi Johan dan Pemenang Tempat Ketiga dalam kategori ‘Cooperatives Robot Challenge’ dalam pertandingan tersebut.

Explore More