Surakarta, 14 Nov. — Program Perancangan Bandar dan Wilayah, Fakulti Alam Bina dan Ukur, UTM (PBW UTM) dengan kolaborasi Perencanaan Wilayah dan Kota, Fakultas Teknik, Universitas Sebelas Maret (UNS) telah menganjurkan 1st International Conference on Planning Towards Sustainability (ICoPS) 2019 di Surakarta, Indonesia dari 6 hingga 7 November 2019 lalu.

Persidangan antarabangsa tersebut yang pertama kalinya telah dianjurkan oleh UNS selaku tuan rumah turut mendapat kolaborasi daripada Jabatan Kejuruteraan Awam, Fakulti Kejuruteraan, King Mongkut’s Institute of Technology Ladkrabang (KMITL), Thailand.

 

Delegasi UTM disertai 4 orang pensyarah kanan dan 7 orang pelajar pasca-siswazah. 

Dengan bermatlamatkan pertukaran pengetahuan, informasi, teori dan amalan perancangan bandar semasa dari negara serantau, persidangan tersebut telah berjaya mengumpulkan pelbagai artikel yang membincangkan topik-topik perancangan bandar mampan.

Seramai lebih 100 peserta dari 5 negara berbeza telah turut serta membentangkan kertas persidangan melibatkan beberapa sub-tema iaitu Pelaksanaan Teknologi dalam Perancangan, Inklusi Sosial dalam Perancangan, Komuniti Mampan dalam Perancangan, Kemampanan Petempatan Manusia, Warisan Bandar, Persekitaran Bandar yang Mampan, Ekonomi Luar Bandar, Mobiliti Bandar dan sebagainya. 

Pada majlis perasmian, Pengarah Perancangan Bandar & Wilayah FABU UTM, Prof. Madya TPr. Dr. Hairul Nizam Ismail yang diundang sebagai invited speaker telah menyampaikan ucaptama bersama pakar rujuk lain dari Bangladesh, Austria, Indonesia dan Thailand.

Beliau juga telah menerima buku kolaborasi antara penyelidik UNS-UTM-KMITL sebagai simbolik kepada jalinan kerjasama yang telah diusahakan dari Dekan Fakultas Teknik UNS, Dr. Sholihin As’ad.

Majlis perasmian tersebut telah disempurnakan sendiri oleh Rektor UNS, Prof. Dr. Jamal Wiwoho.

Para peserta persidangan 1st ICoPS 2019 juga telah diraikan dalam sebuah majlis makan malam gala yang dihoskan oleh Pejabat Datuk Bandar Surakarta di Loji Gandrung (Rumah Rasmi Datuk Bandar) di mana majlis tersebut dirasmikan oleh Timbalan Datuk Bandar Surakarta.

Pada hari kedua peserta turut berpeluang melawat kompleks Tapak Warisan Dunia UNESCO di Prambanan Temple sambil menyaksikan persembahan teater dan budaya Indonesia. 

Delegasi PBW UTM juga telah diundang untuk menghadiri sebuah mesyuarat khas bagi membincangkan bentuk kerjasama yang dapat diusahakan pada masa hadapan bersama-sama wakil Indonesia, Thailand, Bangladesh dan Austria. UTM dijangka akan menjadi tuan rumah kepada penganjuran persidangan kedua ICoPS pada tahun 2021. 

Selain itu, lawatan rasmi delegasi PBW UTM ke UNS yang terdiri daripada Prof. Madya TPr. Dr. Hairul Nizam Ismail, Dr. Noor Aimran Samsudin, Dr. Siti Hajar Misnan dan Dr. Syed Muhammad Rafy Bin Syed Jaafar telah disambut oleh Dr. Sholihin.

Simbolik penyerahan buku penerbitan pertama hasil kerjasama antara UNS-UTM-KMITL oleh Prof. Dr. Jamal Wiwoho (Rector of UNS).

Sempena lawatan tersebut, sebuah kuliah umum juga telah dianjurkan oleh pihak UNS di mana Dr. Hairul Nizam dan Dr. Noor Aimran telah menyampaikan kuliah umum kepada mahasiswa program Perencanaan Wilayah dan Kota di kampus Fakultas Teknik, UNS. 

Hasil penganjuran persidangan tersebut secara kolaborasi, pihak PBW UTM secara prinsipnya telah berjaya meluaskan jalinan kerjasama dengan pelbagai sekolah, fakulti dan universiti yang menawarkan program pengajian perancangan bandar di Indonesia. 

Disediakan oleh:

Dr. Noor Aimran Samsudin

Pensyarah Kanan

Program Perancangan Bandar & Wilayah

FABU UTM

 

Sekitar Majlis Makan Malam Gala 1st ICoPS di Loji Gandrung

Sebahagian delegasi bergambar kenang-kenangan bersama Timbalan Datuk Bandar Surakarta selepas Majlis Makan Malam Gala 1st ICoPS

 

Kuliah umum di Fakultas Teknik, UNS