Disember 22, 2024

Artikel disediakan oleh Gs. Dr. Noradila Rusli 

Sejumlah 48 orang pelajar Tahun 1 program Ijazah Sarjana Muda Perancangan Bandar dan Wilayah, Fakulti Alam Bina dan Ukur, Universiti Teknologi Malaysia telah menyertai Bengkel Asas Penggunaan AutoCAD yang telah disampaikan oleh Encik Muhammad Azahar Zikri yang kini bertugas di Northstar Frontier Sdn. Bhd. sebagai Assistant Design Manager.

Beliau yang merupakan alumni kepada program Perancangan Bandar dan Wilayah turut berpengalaman luas dalam teknik-teknik penggunaan AutoCAD dalam skop perancangan bandar dan wilayah.

Sepanjang bengkel, pelajar bersama-sama penceramah melakukan hands-on lukisan berbantukan AutoCAD yang terdiri daripada pengenalan menu-menu asas, basic drawing (line, circle, polygon), editing (copy, paste, move, rotate dan lain-lain), layout drawing, scale and plotting.

Sepanjang bengkel juga, Encik Azahar berkongsi dengan para pelajar teknik asas membaca pelbagai jenis pelan terutamanya pelan arkitek. Beliau turut memaklumkan, kemahiran membaca pelan adalah sangat penting kerana apabila memasuki alam pekerjaan nanti, perancang tidak hanya menerima pelan layout, tetapi turut perlu memahami dan menterjemah pelan arkitek dan pelan ukur sebagai contoh.

Program yang bermula pada awal pagi dan berakhir sekitar jam 4.30 petang ini turut diselitkan dengan nasihat-nasihat yang berguna serta perkongsian pengalaman penceramah terhadap kerjaya perancang yang tidak hanya terbatas dalam bidang perancangan sahaja, tetapi juga turut boleh dikembangkan ke aspek lain seperti interior design dan arkitek dengan syarat mereka bersedia dan tekun mempelajari ilmu-ilmu baharu di alam pekerjaan nanti.

Di akhir bengkel ini, kesemua pelajar berjaya menghasilkan lukisan layout ringkas kawasan perumahan dengan mengaplikasikan teknik-teknik mudah yang dikongsikan oleh penceramah.

Explore More