April 25, 2024

Search
Close this search box.

JOHOR BAHRU, 15 Okt. — Universiti Teknologi Malaysia (UTM) telah menubuhkan Majlis Sukan Atlet Mahasiswa atau ‘Student Athlete Sports Council’ (SASC) sebagai salah satu langkah pemerkasaan mahasiswa dalam bidang pengurusan sukan.

Penubuhan SASC ini juga adalah salah satu langkah ke hadapan universiti itu dalam melahirkan bakal-bakal graduan yang berpengetahuan dalam aspek pengurusan organisasi dan juga pembangunan modal insan berkualiti serta mampu menyumbang kepada pembangunan negara yang lebih mampan.

Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar) UTM, Prof. Dr. Durrishah Idrus berkata matlamat utama penubuhan SASC ini adalah bagi memberikan platfom yang lebih luas bagi penyertaan mahasiswa UTM dalam bidang sukan.

“SASC juga ditubuhkan bagi membolehkan atlet-atlet mahasiswa yang terdiri daripada palajar kanan universiti itu mendapat pendedahan dalam aspek-aspek latihan dan pengurusan sukan di samping membantu UTM dalam mencari dan melatih bakat-bakat baru sukan di kalangan pelajar baru.

Ahli-ahli SASC dipilih dari kalangan atlet yang pernah mewakili UTM ke temasya sukan di peringkat kebangsaan dan juga antarabangsa. Majlis sukan mahasiswa ini juga dipertanggungjawapkan bagi mempromosikan bidang sukan sebagai satu gaya hidup sihat di kalangan mahasiwa UTM,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap menyempurnakan pelancaran UTM Games 2019 yang berlangsung di Kompleks Sukan UTM kampus Johor Bahru petang tadi.

Turut hadir ialah Pengarah Pusat Kecemerlangan Sukan UTM, Abdul Malik Hj. Abdul Ghani, Timbalan Pendaftar Kanan Pejabat Hal Ehwal Pelajar (HEP), Hj. Dahari Derani dan juga Pengarah UTM Games 2019, Aidil Asyraf Abd. Razak.

Prof. Durrishah berkata bahawa pihak pengurusan UTM sentiasa menyokong sebarang usaha untuk melahirkan graduan yang holistik bagi menerajui negara pada masa hadapan.

“Pihak UTM akan sentiasa menyokong sebarang aktiviti untuk memajukan bidang sukan kerana aktiviti ini mampu untuk menerapkan semangat bersaing untuk menjadi yang terbaik di kalangan atlet mahasiswa itu.

Ini adalah penting dalam melahirkan graduan berkualiti yang sentiasa ingin bersaing bagi menghasilkan yang terbaik di samping membentuk satu komuniti yang mempunyai fizikal dan mental yang sihat bagi menikmati kehidupan yang lebih berkualiti,” katanya lagi.

Seramai 3,000 peserta dari 11 kontinjen yang terdiri dari kolej-kolej kediaman mahasiswa kampus Johor Bahru dan Kuala Lumpur akan bertanding dalam 11 acara seperti badminton, bola keranjang, bola tampar, catur, futsal, petanque, ping-pong, sepak takraw, bola jaring, ragbi dan olahraga.

Majlis perasmian UTM Games 2019 itu juga telah memperkenalkan maskotnya yang tersendiri iaitu ‘Si Tangkas’ yang diilhamkan dari kuda jenis ‘thoroughbred’ yang merupakan spesis kuda bersifat lincah dan tangkas sekaligus melambangkan semangat juang tinggi dan kental pada pasukan yang bakal bertanding.

UTMGames 2019 juga mencatat sejarah unik apabila buat pertama kalinya SASC telah diamanahkan bagi menganjurkan acara sukan peringkat universiti ini dengan dibantu oleh Pusat Kecemerlangan Sukan UTM.

Prof. Durrishah (tiga kanan) bersama dengan maskot UTMGames 2019, Si Tangkas (empat kanan) dan juga maskot-maskot kolej kediaman mahasiswa yang bakal menyertai acara itu.
Prof. Durisshah bersama dengan para peserta UTM Games 2019 selepas majlis perasmian program itu yang berlangsung di Kompleks Sukan kampus Johor Bahru.

Explore More