April 24, 2024

Search
Close this search box.

JOHOR BAHRU, 25 Sept. –- Universiti Teknologi Malaysia (UTM) mengukir sejarah unik apabila menang besar dalam tiga pertandingan robotik yang diadakan di peringkat nasional dan juga antarabangsa

Ini sememangnya amat bertepatan dengan status semasa universiti ini sebagai Universiti Penyelidikan (RU) dan juga sebagai salah sebuah universiti berasaskan teknikal terulung di Malaysia pada masa kini.

Kemenangan ini membolehkan bakat dan kreativiti pelajar khususnya dalam bidang robotik diketengahkan ke peringkat lebih tinggi, dan sejajar dengan hasrat UTM untuk melahirkan graduan berdaya saing yang mampu memenuhi keperluan industri pada masa hadapan.

Ia juga menjadi pengalaman berharga kepada pelajar dan selari dengan wawasan negara untuk mencapai kemajuan dalam Revolusi Perindustrian (IR 4.0) yang mana salah satu elemennya ialah teknologi robotik.

Pada 18 September 2019 yang lalu, sekumpulan mahasiswa UTM yang menggelarkan diri mereka sebagai Kelab Robotik Jazari UTM atau Jazari telah dinobatkan sebagai Juara dan pemenang tempat ketiga dalam Pertandingan Robotik Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) atau IRC 2019.

Dalam pertandingan yang berlangsung di UIAM tersebut, pasukan UTM A yang dianggotai oleh tiga orang mahasiswa berjaya mengalahkan 32 pasukan universiti awam dan swasta lain yang masuk bertanding.

Penasihat pasukan tersebut, Prof. Madya Dr Ahmad ‘Athif Mohd Faudzi berkata melalui program ini, bakat-bakat istimewa dalam bidang robotik yang ada pada mahasiswa ini dapat dibawa ke peringkat yang lebih tinggi.

“Dengan pendedahan yang diperolehi melalui penyertaan dalam pertandingan ini, UTM juga dapat melahirkan graduan berbakat kepada sektor industri pada masa hadapan.

Anak-anak didik Prof. Madya Dr. Mohd. Ridzuan Ahmad juga tidak kurang hebatnya apabila berjaya memenangi memenangi Anugerah Khas dalam Pertandingan ‘The 3rd Silk Road Robotics Innovations Competition 2019’ atau SRRIC 2019 anjuran Jabatan Sains dan Teknologi Shaanxi, Xi’an Jiaotong University yang terletak di wilayah Shaanxi, China ini.

Pada 6 September 2019 yang lepas pasukan UTM yang hanya dibarisi pelajar tahun 3 (1 daripada SKE, 1 daripada SC, dan 2 daripada SKM) berjaya memberi impak dengan melawan pasukan-pasukan lain yang terdiri daripada pelajar Sarjana dan Ijazah Doktor Falsafah (PhD).

“Ini menunjukkan pelajar UTM mempunyai potensi yang sama hebat dengan pelajar pasukan lain dari negara maju seperti Amerika Syarikat, Itali, Rusia, China, Egypt dan lainnya,” ujar Dr. Mohd. Ridzuan.

Selain itu, dua pasukan Robocon UTM di bawah bimbingan Dr. Mohd. Ridzuan juga telah mencipta kejayaan dalam pertandingan University Robot Competition : Kingdom of Champions 2019 atau URock 2019 yang berlangsung di Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) pada 21 September 2019 yang lalu.

UTM telah menghantar dua pasukan dimana satu pasukan telah menjadi johan manakala satu lagi pasukan mendapat tempat ketiga dalam kategori ‘Coorperatives Robot Challenge’ sekaligus membawa pulang hadiah wang tunai bernilai RM4,250.00

Jumlah penyertaan adalah 50 pasukan dari 15 Institusi Pengajian Tinggi (IPT). Pasukan UTM dibarisi oleh 17 pelajar dari Fakulti Kejuruteraan UTM.

Dr. Ridzuan yang ditemui selepas majlis penyampaian hadiah di URock 2019 berkata penyertaan UTM di pertandingan ini bukan sekadar hanya memburu kemenangan malah lebih dari itu.

“Kami menyertai pertandingan ini kerana melalui inilah dapat kami perolehi pendedahan sebenar mengenai bidang kejuruteraan robotik dan juga keperluan sebenar terkini bidang ini di pasaran kerja luar sana.

“Selain mendapat pendedahan mengenai keperluan terkini industri, para mahasiswa juga dapat diterapkan dengan semangat kerja berpasukan di samping keyakinan tinggi yang amat diperlukan oleh golongan majikan kini,” katanya lagi.

Kumpulan Delta dan Alpha UTM sewaktu bertanding di pertandingan URock 2019 di Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) baru-baru ini.

Explore More