November 3, 2024

Search
Close this search box.

UTM-Geosolutions tandatangani MoU kerjasama bidang Integrasi Pemodelan Maklumat Bangunan (BIM)

JOHOR BAHRU, 10 Okt. — Satu Memorandum Persefahaman (MoU) telah ditandatangani antara Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan juga Setia Geosolutions Sdn. Bhd. bagi membolehkan kerjasama dalam bidang penyelidikan dan latihan berkaitan Reka Bentuk Imej Tiga Dimensi (3D) Strata – Integrasi Pemodelan Maklumat Bangunan (Building Information Modelling – BIM integration).

Majlis menandatangani dokumen itu telah berlangsung di Fakulti Alam Bina dan Ukur, UTM Johor Bahru dan disempurnakan oleh Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), YBhg. Prof. Datuk Dr. Ahmad Fauzi Ismail dan Pengerusi Setia Geosolutions Sdn. Bhd, Tn. Hj. Sr. Mohamad Kamali Adimin.

Prof. Fauzi dalam ucapan alu-aluannya berkata kolaborasi antara kedua-dua pihak ini harus dilihat sebagai satu langkah berpotensi untuk pembangunan modal insan yang berterusan yang mencakupi aspek pembangunan Pembangunan dan Penyelidikan (R&D) dan inovasi penyelesaian industri.

“Peluang ini wajar dimanfaatkan sebaik mungkin oleh UTM untuk menjalinkan hubungan kolaborasi dengan pihak industri dalam aspek-aspek akademik, R&D dan penerbitan demi menaikkan nama UTM dan menyediakan pendidikan tinggi yang berkualiti.

“Kerjasama ini membolehkan UTM menjalankan penyelidikan menggunakan projek-projek Setia Geosolutions untuk penyelidikan berkaitan dalam bidang 3D Strata-BIM integrations, geoinformasi dan sebagainya,” katanya.

Menerusi persefahaman ini juga, UTM dan Geosolutions akan bekerjasama untuk mengadakan bengkel/seminar kepada syarikat swasta dan juga institusi awam untuk mengkaji objek strata 3D beserta BIM bagi bangunan di Malaysia di mana data dan keputusan hasil kajian tersebut akan digunakan untuk tujuan pengajaran di UTM.

“Sememangnya kepakaran yang dimiliki oleh pensyarah dan penyelidik UTM adalah yang terbaik di Malaysia serta mampu menyokong pelbagai usahasama dengan pihak industri terutamanya di dalam bidang geospatial.

“Adalah diharapkan melalui persefahaman ini, akan menggiatkan lagi aktiviti yang akan dilaksanakan dan UTM sentiasa sedia untuk memberikan kerjasama bagi menjana inovasi terkini bagi mewujudkan perkongsian pintar bersama industri,” katanya lagi.

Turut hadir adalah Pengarah (Geoinformasi) Fakulti Alam Bina dan Ukur UTM, Prof. Madya Sr. Dr. Zulkarnaini Mat.

Pengerusi Setia Geosolutions Sdn. Bhd, Tn. Hj. Sr. Mohamad Kamali Adimin (empat kiri) bertukar dokumen perjanjian dengan Prof. Datuk Dr. Ahmad Fauzi Ismail di majlis menandatangi MoU kerjasama antara UTM-Geosolution yang berlangsung di Fakulti Alam Bina dan Ukur (FABU) UTM Johor Bahru pagi tadi.

Explore More