April 19, 2024

Search
Close this search box.

JOHOR BAHRU, 20 Okt. –- Satu program bertajuk Seminar Iskandar Puteri ke arah Masyarakat Rendah Karbon 2019 (SIPLCS 2019) telah dianjurkan oleh Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dengan kerjasama Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP).

Program yang turut mendapat sokongan dari Jabatan Pendidikan Negeri Johor (JPNJ) itu telah berlangsung di pusat membeli belah Sutera Mall, Skudai.

Penyelaras Program, Prof. Madya Dr. Fatin Aliah Phang berkata program ini merupakan inisiatif tanggungjawap sosial UTM bersama dengan MBIP untuk mewujudkan komuniti berminda lestari dan mewujudkan masyarakat rendah karbon di Iskandar Puteri.

“Antara pengisian utama seminar ini adalah pertandingan akhir ‘Problem Based Learning for Low Carbon Society 2019’ (PBLLCS), Promosi Penggunaan Kenderaan Awam serta ceramah dan pameran berkaitan Inisiatif Masyarakat Rendah Karbon.

Bagi pertandingan PBLLCS yang merupakan program kesedaran masyarakat rendah karbon telah disertai oleh 315 orang pelajar tingkatan 2 dan 64 guru mata pelajaran Reka Bentuk Teknologi (RBT), Sains, Matematik dan Bahasa Inggeris dari 14 buah sekolah sekitar negeri Johor,” katanya.

Kesemua guru berkenaan telah terlebih dahulu dilatih oleh pensyarah dari Pusat Pendidikan Kejuruteraan UTM (CEE) dan juga pegawai MBIP tentang kesedaran dan pengetahuan berkaitan masyarakat rendah karbon.

“Selain diberikan kesedaran dan pengetahuan berkaitan masyarakat rendah karbon, para guru ini juga telah diberikan pendedahan mengenai inisiatif masyarakat rendah karbon serta kaedah pengajaran Pembelajaran Abad ke-21 (PAK21) berteraskan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).

Guru-guru ini kemudiannya menjalankan kelas PBLLCS kepada pelajar tingkatan 2 di sekolah masing-masing selama enam bulan untuk mendalammi isu berkaitan masyarakat rendah karbon dengan harapan agar pelajar mampu mencadangkan penyelesaian praktikal bagi menangani masalah yang telah dikenalpasti supaya dapat direalisasikan di kawasan MBIP,” katanya lagi.

Majlis perasmian penutup telah disempurnakan oleh Setiausaha MBIP, Azurawati Wahid sebagai mewakili Datuk Bandar MBIP, YB Dato’ Haji Adib Azhari Daud.
Turut hadir adalah Pengerusi Penyelidikan Bersekutu Smart Digital Community UTM, Prof. Dr. Kamalsulnizam Abu Bakar dan Ketua Penolong Pengarah Kanan JPNJ, Kamarudin Abu.

Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultan Ismail telah diumumkan sebagai juara dengan kumpulan Forest Kidz menduduki tempat pertama dalam PBLLCS. Tempat kedua dimenangi oleh kumpulan Eco Galaxy dari SMK Dato’ Penggawa Barat dan tempat ketiga oleh kumpulan Guardian of the Environment dari SMK Seri Perling.

Pengunjung juga dihiburkan dengan 11 ruangan pameran yang disertai oleh MBIP, UTM, Tanah Sutera, rangkaian kedai makanan Subway, BACFREE Malaysia, Perbadanan Pengangkutan Awam Johor (PAJ), The Iskandar Malaysia Bus Rapid Transit (IMBRT) dan SWM Environment.

Sejumlah kira-kira 1,000 orang pengunjung telah hadir ke program ini.

Azurawati Wahid (berbaju kuning) bersama pemenang PBLLCS dan juga kesemua peserta SIPLCS 2019 bergambar kenangan sewaktu tamat program di Sutera Mall, Skudai.

 

 

Explore More