JOHOR BAHRU, 3 Okt. — Jabatan Pendaftar Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dengan kerjasama Persatuan Pegawai Tadbir dan Ikhtisas (PERTISAS) UTM dan juga Majlis Persatuan Pentadbir Universiti Awam Malaysia (MASTI) telah menganjurkan Konvensyen Pentadbir 2019.
Bertempat di KSL Hotel, Johor Bahru, konvensyen yang bertemakan ‘Pentadbir Sejahtera Aspirasi Negara’ ini telah berlangsung selama dua hari bermula 2 Oktober 2019.
Pengarah Program Konvensyen Pentadbir 2019, Norizan binti Salleh berkata Konvensyen Pentadbir 2019 merupakan satu medan pertemuan bersifat formal bagi para pegawai pengurusan profesional serta kumpulan pelaksana (PPP) berkongsi pengalaman, pengetahuan dan amalan-amalan terbaik antara agensi-agensi, organisasi dan universiti di Malaysia.
“Objektif konvensyen ini adalah untuk meningkatkan pengetahuan, melalui kepelbagaian perkongsian ilmu, menggalakkan budaya penulisan dan penerbitan artikel di kalangan para pentadbir, memberi inspirasi dan ilham supaya bersedia dengan cabaran serta merebut peluang dalam mempertingkatkan jati diri selari dengan keperluan organisasi masa hadapan dan menyokong budaya kreatif dan inovatif dalam melaksanakan tanggungjawab seharian.
“Tema yang dipilih bagi Konvesyen kali ini adalah “Pentadbir Sejahtera Aspirasi Negara”.
Ini bersesuaian dengan pentingnya untuk melatih dan menggilap pentadbir yang berkualiti dalam masa yang sama tidak mengabaikan aspek kerohanian,”katanya.
Menurutnya lagi seorang pentadbir tidak semestinya sekadar memenuhi tuntutan pekerjaan semata-mata, sebaliknya dalam konteks yang lebih besar, pentadbir berkualiti akan menyumbang kepada modal insan dan bakat yang diperlukan untuk membangun, mengurus dan menerajui pentadbiran sesebuah institusi.
“Kesejahteraan pentadbir adalah penting bagi memastikan pengurusan pentadbiran yang kukuh tanpa mengabaikan pengurusan mental dan emosi modal insan.
Kekuatan dan keunggulan modal insan inilah yang akan dapat melestarikan pentadbiran institusi/agensi khususnya dan secara langsung dapat menyumbang kepada pembangunan negara secara amnya,” katanya.
Konsep yang diketengahkan adalah perkongsian ilmu melalui pembentangan kertas kerja oleh peserta dan ucaptama yang akan disampaikan oleh beberapa tokoh atau public figure yang terkenal di Malaysia.
Sesi pembentangan dibahagikan kepada tiga sessi mengikut sub bidang iaitu Kesejahteraan Pendidikan & Sains Kemanusiaan, Kelestarian Sains & Teknologi dan Kreativiti Pengurusan dan Pentadbiran.
Kumpulan sasaran adalah terdiri daripada para pentadbir institusi, organisasi, Universiti Awam, Institut Pengajian Tinggi Swasta dan jabatan-jabatan Kerajaan dan Pentadbiran Negeri.
“Adalah diharapkan supaya konvensyen ini dapat menjadi pemangkin yang efektif kepada para pentadbir untuk bergerak seiring dengan golongan professional yang lain dalam menentukan hala tuju pentadbiran dan pengurusan organisasi selari dengan Revolusi Industri 4.0.
Ia juga diharap dapat membantu meningkatkan kompetensi para pentadbir supaya sentiasa relevan dengan arus dan cabaran terkini,” katanya lagi.
Konvensyen Pentadbir 2019 ini telah disempurnakan perasmiannya oleh Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Sumber Manusia serta Sains dan Teknologi Johor, YB Tuan Haji Aminolhuda Hj. Hassan.
Turut menghadiri majlis perasmian ialah Naib Canselor UTM, Prof Datuk Ir Dr Wahid bin Omar, Pro-Naib Canselor (Strategi), Prof. Dr. Shahrin Mohammad dan Pendaftar UTM, Abdul Razib Hj. Shahuddin.