JOHOR BAHRU, 3 Okt. – Penyelidik dan pensyarah kanan dari Sekolah Kejuruteraan Kimia dan Kejuruteraan Tenaga, Fakulti Kejuruteraan, Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Prof. Madya Dr. Mohd Hafiz Dzarfan Othman telah diumumkan sebagai pemenang anugerah ‘Best of the Best’ dalam Innovate Johor 2019.

Kemenangan ini membolehkan Dr. Hafiz Dzarfan membawa pulang geran penyelidikan berjumlah RM50,000.00, sijil penghargaan dan juga plak kemenangan. Beliau telah memenangi hadiah ini melalui ciptaannya yang bertajuk ‘Hybrid Photocatalytic Membrane Filter System for Household Water’.

Turut juga memenangi anugerah ialah Prof. Madya Dr. Mohd. Khairi Abu Husain dari Fakulti Teknologi dan Informatik Razak yang memenangi Anugerah Khas (Industri) dan dianugerahkan Plak Kemenangan dan juga Sijil Penghargaan.

Beliau juga turut memenangi pingat Emas (Gold Medal) bagi ciptaan yang sama iaitu ‘Efficient Load Coefficient Method for Reliability Assessment of Offshore Platforms’

Anugerah Khas (Komuniti) pula telah dimenangi oleh Dr. Dayana Farzeeha Ali dari Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan (FSSK) melalui ciptaannya ‘Multi Sensory Smart Room’ dan membawa pulang Plak Kemenangan dan Sijil Penghargaan.

Bagi kategori Inovasi Pelajar pula, tempat pertama telah dimenangi oleh Ts. Sr. Suliadi Firdaus Sufahani dari Universiti Teknologi Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) diikuti oleh Mogana Darshini Ganggayah dari Universiti Malaya (UM). Tempat ketiga pula dimenangi oleh Hasniza Taywer dari Kolej Komuniti Kota Tinggi.

Pemenang tempat pertama kategori ini membawa pulang hadiah wang kemenangan RM500.00, Sijil Penghargaan dan juga Pingat diikuti tempat kedua yang membawa pulang RM300.00, sijil penghargaan dan medal. Tempat ketiga pula membawa pulang RM300.00, sijil dan pingat.

Sementara itu Naib Canselor UTM, Prof. Datuk Ir. Dr. Wahid Omar berkata Innovate Johor 2019 membuktikan bahawa penyelidik dan pelajar mampu menghasilkan inovasi yang boleh dimanfaatkan oleh komuniti dan industri tempatan.

“Program ini telah membuka minda komuniti terhadap keupayaan rekacipta dan inovasi penyelidik dan pelajar di institusi pengajian tinggi di seluruh negeri Johor malah sebahagian inovasi mereka berpoternsi besar untuk diketengahkan ke peringkat antarabangsa.

“Innovati Johor juga adalah inisiatif UTM selaku sekreteriat Johor Innovation Valley (JIVe) untuk memasyarakatkan universiti dan pada masa yang sama mengajak komuniti melihat sendiri keupayaan meraka, berkongsi dengan rakan industri, orang awam serta pelajar sekolah,” katanya.

Beliau berkata demikian sewaktu memberikan ucapan alu-aluan dalam Majlis Perasmian Penutup Innovate Johor 2019 yang kemudiannya telah disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Sumber Manusia, Sains dan Teknologi Negeri Johor, YB Tuan Hj. Aminolhuda Hj. Hassan.

Turut hadir adalah Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Prof. Datuk Dr. Ahmad Fauzi Ismail dan Pengarah Pusat Pengurusan Penyelidikan (RMC) merangkap Pengerusi Jawatankuasa Kerja Innovate Johor 2019, Prof. Madya Ts. Dr. Shukor Abd. Razak.

Pelbagai acara menarik yang merangsang minda inovatif turut diadakan kepada pengunjung awam, pelajar-pelajar sekolah serta Institusi Pengajian Tinggi (IPT) antaranya Tachnofun yang menampilkan aktiviti sumo robot, permainan sukan elektronik atau e-games, pertandingan mewarna kanak-kanak dan pelbagai lagi.

Program yang bertemakan ‘Innovation towards Sustainable Entrepreneurship’ ini telah menampilkan hampir 80 pameran projek inovasi penyelidik UTM, IPT dan juga kolej jemputan.

YB Aminolhuda Hj. Hassan (tiga kiri) menyampaikan replika cek kemenangan kepada PM Dr. Mohd. Hafiz Dzarfan sewaktu majlis perasmian penutup Innovate Johor 2019 yang berlangsung di Dewan Sultan Iskandar, UTM Johor Bahru. Dr. Hafiz Dzarfan diumumkan sebagai pemenang hadiah utama ‘Best of the Best’ sekaligus membawa pulang hadiah kemenangan bernilai RM50,000.00 geran penyelidikan, sijil serta piala.