JOHOR BAHRU, 13 Okt. — Seramai 100 orang Pembantu Operasi di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) telah mendapat isian minyak motosikal secara percuma dalam satu program anjuran Kelab Pembantu Operasi UTM (KEPSI).

Program ‘Free Gasoline Motocycle’ atau FOM 2.0 yang berlangsung di Stesen Minyak Petronas Jalan Pontian- Skudai ini telah dilangsungkan perasmiannya oleh Pendaftar UTM, Abd. Razib Hj. Shahuddin mewakili Naib Canselor, Prof. Datuk Ir. Dr. Wahid Omar.

Presiden KEPSI, M. Zulkafli Hanapiah berkata program ini dijalankan bagi berkongsi hasil yang diperoleh oleh KEPSI menerusi pelbagai program anjuran kelab itu sepanjang tahun 2019.

“Program ini adalah susulan daripada projek FOM 1.0 yang kami anjurkan dua tahun yang lalu bertempat di sebuah stesen minyak di Taman Universiti, Skudai.

Tujuan utama penganjuran program ini adalah untuk ‘memulangkan’ kembali keuntungan hasil penganjuran program KEPSI sepanjang tahun 2019. Selain itu kami juga berhasrat mahu mengurangkan beban sara hidup yang semakin tinggi kini melalui bantuan isian minyak motosikal ini,’ katanya lagi.

Menurutnya, peruntukan yang dibelanjakan untuk membiayai program ini adalah diperolehi melalui penganjuran pelbagai program sepanjang 2019 termasuk penganjuran Bazar UTM setiap Selasa di Tasik Ilmu.

“Selain dari menganjurkan program ini, hasil kutipan aktiviti anjuran KEPSI ini juga diagihkan kepada Dana Tabungan Endowmen UTM di samping pelbagai sumbangan kebajikan dalam universiti ini,” katanya.

Sementara itu Pendaftar UTM, Abdul Razib Hj Shahuddin berkata program ini adalah selaras dengan dasar keusahawanan universiti yang sedang giat diterapkan semangatnya ke atas warga universiti itu.

“Program ini menunjukkan semangat yang positif yang ditunjukkan oleh KEPSI dalam menyahut seruan semangat keusahawanan oleh universiti dalam aspek penjanaan sumber kewangan.

“Saya berharap agar program ini berpotensi untuk menjadi pemangkin yang positif kepada mana-mana persatuan staf ataupun pelajar untuk melakukan perkara yang serupa,” katanya lagi.

Pendaftar UTM, Abdul Razib Hj. Shahuddin bersama dengan penerima bantuan isi minyak motosikal percuma FoM 2.0 anjuran Kelab Pembantu Operasi (KEPSI) UTM di majlis perasmian program tersebut di Stesen Petronas Jalan Pontian-Skudai pagi tadi.