November 17, 2024

Search
Close this search box.

JOHOR BAHRU, 12 Sept — Usaha Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dalam mempergiatkan lagi kerjasama dengan pihak industri tempatan dengan harapan supaya kepakaran dan hasil penyelidikan dapat dikongsi bersama amat digalakkan dan disambut baik oleh industri.

Kerjasama antara kedua-dua belah pihak juga melambangkan pihak universiti memberikan semula ‘kepentingan’ pihak awam untuk faedah bersama.

Perkara ini telah disuarakan oleh tiga peserta UTM Engineering-Industry Innovation Day 2019 iaitu Micron Semiconductor Malaysia Sdn. Bhd, Rohde & Schwarz Technologies (M) Sdn. Bhd dan Terreal (M) Sdn. Bhd.

Bagi Lydia Tan yang bertugas sebagai Pegawai Perjawatan dan Sumber Manusia dari Micron Semiconductor Malaysia Sdn. Bhd. berkata syarikatnya telah bekerjasama dengan UTM sejak dari 2014 dan banyak faedah telah diperolehinya.

“Kami juga telah menerima ramai graduan UTM yang kini berkhidmat sebagai kakitangan syarikat dan bertugas dalam bahagian teknikal. Mereka amat cemerlang dan juga pakar dalam bidang kerja masing-masing.

Tidak kurang juga hebatnya pelajar praktikal UTM yang datang untuk melengkapkan Latihan Industri (LI) mereka bersama kami. Adalah menjadi satu kerugian sekiranya kerjasama ini tidak diteruskan pada masa akan datang,” katanya.

Menurutnya lagi, syarikatnya banyak memperolehi manfaat hasil dari kerjasama dengan UTM antaranya adalah mendapat tenaga kerja mahir dan berkualiti di samping faktor logistik iaitu berada di negeri Johor.

“Kami juga sedang dalam perancangan untuk meluaskan skop kerjasama dalam bidang penyelidikan pula memandangkan UTM sudahpun diiktiraf sebagai salah satu Universiti Penyelidikan (RU) di Malaysia ini,” katanya.

Syarikat yang berpangkalan di Idaho, Amerika Syarikat ini mengeluarkan cip elektronik sebagai produknya telah memilih Malaysia sebagai salah satu negara untuk membuka cawangannya dan kini aktif beroperasi di Kawasan Perindustrian Tanjung Agas, Muar, Johor.

Bagi Jurutera Operasi dari Rohde & Schwartz Technologies (M) Sdn. Bhd (RSMY), Zuhdi Abd. Latif pula berkata syarikatnya mula berkolaborasi dengan UTM pada tahun 2018 apabila menggunakan khidmat kepakaran Prof. Madya Dr. Nurul Muazzah Abd. Latif dari Sekolah Komputeran, Fakulti Kejuruteraan.

“Syarikat kami menggunakan khidmatnya selama setahun bermula 5 Oktober 2018 dan beliau amat pakar dalam bidang ‘Automated-Troubleshooting’.

Melalui kepakaran ini, syarikat kami telah berjaya meminimakan masa untuk membaiki alatan yang dikeluarkan sekaligus menjimatkan perbelanjaan kerana selagi alatan tidak diperbaiki selagi itulah ia tidak dapat dijual kepada pelanggan,” katanya.

Zuhdi juga memaklumkan bahawa RSMY juga akan mula mengambil pelajar praktikal bermula pada tahun ini memandangkan syarikatnya baru sahaja memulakan operasi di daerah Johor Bahru pada tahun 2017.

RSMY adalah syarikat pengeluar peralatan elektronik bagi tujuan pertahanan keselamatan aeroangkasa, penyiaran dan media, keselamatan siber (Cybersecurity) dan juga bagi tujuan pengukuran dan pengujian yang berasal dari negara Jerman.

Bagi Penolong Pengurus (Khidmat Pelanggan) Terreal (M) Sdn. Bhd, Khairul Nizam Hashim pula berkata syarikatnya telah mula berkolaborasi dengan UTM semenjak 2018 dimana Terreal telah menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan UTM

“Kami telah bekerjasama dengan UTM dalam bidang penyelidikan di mana kami telah menggunakan Makmal Aeronotik bagi menguji kekuatan kepingan bumbung kami dengan menggunakan terowong angin di makmal tersebut.

Daripada ujian ini, kami telah memperolehi data berkenaan dengan produk kami serta memberikan manfaat kepada kami dan membuktikan keutuhan produk kami kepada para pelanggan kami,” katanya lagi.

Ditanya mengenai harapan mengenai kerjasama dengan UTM, Khairul Nizam berharap agar kerjasama ini diteruskan demi manfaat kedua-dua belah pihak.

“Sebagai pihak industri, kami memerlukan pelbagai kaedah dan teknik baru yang dapat memberikan evolusi dalam sektor pembuatan.

Kami juga percaya sebagai universiti pula, UTM ingin mengeluarkan graduan yang memenuhi aspirasi semasa yang diperlukan oleh sektor pekerjaan dalam industri negara pada masa kini,” katanya lagi.

Ketiga-tiga industri berkenaan adalah sebahagian daripada peserta program Engineeering-Industry Innovation Day 2019 anjuran Fakulti Kejuruteraan UTM yang berlangsung di Dewan Sultan Iskandar selama dua hari bermula 11 September 2019.

Lebih 100 pihak industri dari seluruh negara telah menyertai program yang pertama kali dianjurkan ini.

Perasmian penutup telah disempurnakan oleh Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, YB Yeo Bee Yin di Dewan Sultan Iskandar, UTM Johor Bahru.

Turut hadir adalah Naib Canselor UTM, Prof. Datuk Ir. Dr. Wahid Omar dan juga Dekan Fakulti Kejuruteraan UTM, Prof. Dato’ Dr. Ir. Mohd. Rafiz Dato’ Abd. Kadir.

Lydia Tan dari Micron Semiconductor Malaysia Sdn. Bhd.
Jurutera Operasi dari Rohde & Schwartz Technologies (M) Sdn. Bhd (RSMY), Zuhdi Abd. Latif.
Penolong Pengurus (Khidmat Pelanggan) Terreal (M) Sdn. Bhd, Khairul Nizam Hashim

Explore More