Musim pendaftaran pelajar baharu di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) tiba lagi.
Kali ini kira-kira 3,780 orang akan mendaftar sebagai pelajar baharu bagi sesi 2019/2020 pada 3 September 2019 di kelapan-lapan kolej kediaman di UTM.
Sehubungan itu, UTM melalui Pejabat Hal Ehwal Pelajar telah menjalankan pelbagai persiapan khas sekitar kampus Johor Bahru dan Kuala Lumpur dalam meraikan kedatangan pelajar-pelajar ini.
Antaranya ialah gotong-royong sekitar kampus, menyambut pelajar di Lapangan Terbang Antarabangsa Senai dan hentian bas Larkin serta penubuhan jawatankuasa khas sempena Minggu Mesra Mahasiswa (3M) yang akan bermula 4 September ini.
Jawatankuasa khas tersebut adalah seperti Krew Pengangkutan 3M, Krew Makanan, Krew Pendaftaran dan sebagainya.
Menariknya kesemua ahli krew ini terdiri daripada pelajar kanan UTM sendiri dan mereka telah menjalani kursus pengurusan khas bagi menjadi krew 3M sebelum ini.
Gotong Royong Sempena Pendaftaran Pelajar Baharu
Pada 1 September lepas, 40 orang staf Jabatan Timbalan Naib Canselor (HEP) bergotong royong di Stor Pusat HEP untuk proses agihan cenderamata kepada lapan (8) kolej yang terlibat dengan pendaftaran pelajar baharu pada 3 September kelak.
Program gotong royong yang bermula jam 9.00 pagi ini turut melibatkan staf kolej dan krew 3M. Kolej yang terlibat dengan proses agihan cenderamata ini ialah Kolej Rahman Putra, Kolej Tun Fatimah, Kolej Tun Razak, Kolej Tuanku Canselor, Kolej Tun Dr. Ismail, Kolej Tun Hussein Onn, Kolej Perdana dan Kolej 9&10.
Sambutan Pelajar di Lapangan Terbang dan Hentian Bas Larkin Sentral
Penyelaras Program Sambutan Mahasiswa Baru UTM sesi 2019/2020, Masnawi Miskam berkata krew Pengangkutan 3M telah mula menyambut pelajar baharu sejak 1 September.
Terkini, seramai 27 mahasiswa baru sesi 2019/2020 yang bakal menyambung pengajian di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) telah diberikan sambutan meriah ketika tiba menjejakkan kaki di bumi Johor ini.
Ketibaan mahasiswa itu telah disambut dengan meriah oleh tiga orang pegawai dari Jabatan Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar (HEP) dengan dibantu oleh 5 mahasiswa yang terdiri dari krew Pengangkutan Minggu Mesra Mahasiswa (MMM) sesi 2019/2020 di Lapangan Terbang Antarabangsa (LTAB) Senai, Johor.
“UTM dijangkakan akan menerima seramai 14 orang pelajar baharu pada hari ini dan seramai 12 orang lagi dijangkakan akan tiba pada esok (3 September 2019).
Semua mahasiswa baru yang disambut di LTAB Senai itu adalah terdiri dari mahasiswa tempatan yang berasal dari seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak,” katanya lagi.
Mengulas lanjut mengenai sambutan ini Masnawi berkata tujuan program ini diadakan adalah untuk membantu para pelajar yang tiba dari destinasi yang jauh untuk tiba ke UTM dengan selamat.
“Di samping memberikan imej yang positif kepada UTM, aktiviti ini sedikit sebanyak dapat membantu meringan beban dan membina keyakinan kepada para pelajar ini yang tiba dari jauh tanpa diiringi oleh kedua ibubapa dan kaum keluarga.
“Ini amat penting dalam pembinaan keyakinan diri kepada pelajar ini dalam menempuh kehidupan sebagai mahasiswa yang masih panjang di UTM ini,” katanya lagi.
HEP juga menyediakan jadual khas untuk krew pengangkutan bagi memudahkan tugas mereka menjemput pelajar-pelajar baharu ini agar mereka tidak terasa canggung di kampus baru dan tempat baru.
Persediaan ke arah kelestarian
Pasukan Jawatankuasa Makanan Minggu Mesra Mahasiswa (3M) dan Pusat Kesihatan Universiti turut sama bekerjasama menjalankan audit kebersihan dan pemeriksaan ke dapur-dapur katerer yang akan menyediakan makanan kepada pelajar baharu sepanjang MMM tahun ini.
Audit kebersihan dan pemeriksaan ini turut melibatkan 2 orang pelajar merangkap krew 3M.
Audit ini penting bagi memastikan katerer mematuhi peraturan kebersihan serta kelestarian seperti tidak menyediakan bekas makanan yang dibuat daripada plastik sekali guna dan straw serta didikan tentang pengasingan sampah menggunakan pelbagai tong istimewa yang disediakan seperti tong 3R dan sangkar sampah.
Ini kerana pembentukan minda lestari kepada pelajar baharu ini adalah amat penting bagi memastikan mereka meneruskan legasi kelestarian di UTM.
UTM mengucapkan selamat datang kepada semua pelajar baharu bagi sesi 2019/2020! Semoga dapat menjadi sanjungan bangsa.