Disember 19, 2024

Pilihan Raya Kampus Universiti Teknologi Malaysia 2019/2020 Bakal Cipta Sejarah Dikendalikan Sepenuhnya oleh Pelajar

Presiden CEC, Mohamad Fitri Mazlan menerima watikah lantikan dari Naib Canselor UTM, Prof. Datuk Ir. Dr. Wahid Omar

JOHOR BAHRU, 29 Sept. — Pelajar tahun akhir Sarjana Muda Kejuruteraan Mekanikal, Mohamad Fitri Mazlan dilantik sebagai Presiden pertama untuk menerajui JawatanKuasa Pilihan Raya Kampus atau Campus Election Committee (CEC) Universiti Teknologi Malaysia (UTM).

Berasal dari Alor Setar Kedah, anak pertama dari tiga orang adik-beradik ini pernah menganggotai Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UTM Sesi 2015/2016 ketika mengikuti pengajian peringkat diploma di UTM Kuala Lumpur.

UTM pada 22 September 2019 telah mengumumkan penubuhan CEC bagi menyelaras, memantau dan melaksanakan semua aktiviti berkaitan Pilihan Raya Kampus (PRK) di universiti ini.

Kesemua anggota CEC menerima watikah pelantikan yang disampaikan oleh Naib Canselor, Prof. Datuk Ir. Dr. Wahid bin Omar dalam satu majlis khas di Dewan Alumni, UTM kampus Johor Bahru.

Kesemua anggota CEC selepas menerima watikah pelantikan bersama Naib Canselor, Timbalan Naib Canselor (HEP) dan Pendaftar

Antara tugas awal CEC termasuk menyemak dan memutuskan perkara-perkara utama berkaitan PRK seperti tarikh, tatacara perjalanan (seperti yang tertera di dalam Buku Panduan dan Kod Etika PRK), jumlah kerusi yang dipertandingkan dan lain-lain lagi.

CEC juga diamanahkan dengan tanggungjawab untuk melaksanakan reformasi terhadap peraturan pilihan raya serta mengendalikannya dengan objektif  ‘semak dan imbang’ (check and balance) bagi pihak universiti sendiri.

Seramai 23 pelajar UTM dari pelbagai kaum, fakulti, tahap pengajian dan warganegara dilantik sebagai anggota CEC UTM bagi sesi 2019/2020 mulai 22 September 2019.

Pelantikan ini juga merupakan satu pengiktirafan dan kepercayaan yang diberikan oleh Universiti untuk melaksanakan perjalanan Pilihan Raya Kampus (PRK) UTM bagi Sesi 2019/2020.

Ia juga selaras dengan hasrat Kementerian Pendidikan Malaysia agar tatacara PRK disemak semula bagi memberi laluan kepada pelajar untuk mengendalikan PRK secara telus dan bebas mengikut acuan kepimpinan mereka.

Tmbalan Naib Canselor (HEP), Prof. Dr. Durrishah Idrus sempat berjenaka bersama Naib Presiden (Pengurusan) CEC,  Nor Aqira binti Rosli (depan paling kiri) dan Setiausaha CEC, Maisarah Yuzlan (depan dua dari kiri)

Pemilihan 23 anggota CEC dibuat melalui ‘task force’ khas yang dipengerusikan oleh Pendaftar UTM, En. Abdul Razib Bin Hj. Shahuddin lanjutan dari iklan pencarian yang dibuka pada 9 Julai 2019.

Seramai 125 pelajar telah memohon dan setelah sesi saringan, hanya 46 sahaja layak berdasarkan syarat kelayakan asas seperti diiklan iaitu pemohon mesti pernah atau sedang menganggotai Ahli Majlis Tertinggi (MT) Majlis Perwakilan Mahasiswa (MPM), Jawatan Kuasa Kolej Mahasiswa (JKM), pasukan badan beruniform, persatuan dan kelab yang berdaftar di UTM.

Pilihan Raya Kampus UTM 2019/2020 bakal mencipta sejarah apabila buat pertama kali akan dikendalikan sepenuhnya oleh pelajar tanpa campur tangan pihak pengurusan universiti.

Uniknya, para pelajar UTM bukan sahaja mempunyai kuasa untuk menentukan siapa yang bakal mewakili suara mahasiswa selama setahun, malah melalui Campus Election Committee (CEC), mereka memiliki sebuah jawatankuasa mirip ‘Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR)’.

Naib Canselor, Prof. Datuk Ir. Dr. Wahid Omar dalam amanatnya kepada anggota CEC berkata UTM merupakan universiti kedua selepas Universiti Malaya yang menubuhkan jawatan kuasa mirip Suruhan Jaya Pilihan Raya (SPR) seperti ini. Jawatan kuasa ini juga merupakan wadah terbaik kepada semua anggota CEC mempelajari, merasai dan mengurus dalam dunia sebenar. Beliau juga mengingatkan bahawa pemberdayaan pelajar ini hadir dengan kebertanggungjawaban (accountability) penuh.

Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar), Prof. Dr. Durrishah Idrus mengucapkan tahniah kepada semua anggota CEC yang tampil berani menyahut cabaran besar ini dan mendoakan perjalanan kumpulan perintis ini berjalan lancar, cemerlang dan penuh integriti.

Mohamad Fitri Mazlan berkata Campus Election Committe merupakan wadah baru bagi pelajar untuk menyerlahkan lagi bakat kepimpinan yang mereka ada dalam usaha universiti merealisasikan pemberdayaan pelajar atau ‘student empowerment’.

“Harapan saya agar saya bersama pasukan saya dapat memberikan 100% komitment dalam usaha untuk menjadikan pilihanraya kampus yang pertama kali diuruskan sepenuhnya oleh pelajar ini berjalan lancar serta dapat menjadi contoh kepada universiti universiti lain.

Saya juga berharap peratusan pelajar keluar mengundi meningkat pada pilihanraya kali ini dan proses pilihanraya dapat berjalan seperti yang telah dirancang tanpa sebarang masalah,” tambah beliau lagi.

Pelajar Doktor Falsafah Kejuruteraan Kimia, Norfazliana Abdullah mengetuai
Unit Perhubungan Luar & Strategi

Bagi Ketua Unit Perhubungan Luar & Strategik CEC, Norfazliana Abdullah, setelah selama 11 tahun bergelar pelajar di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) bermula dari Sarjana Muda hingga peringkat Doktor Falsafah, beliau sangat teruja kerana bakal menyaksikan satu perubahan yang akan menjadi lipatan sejarah di UTM.

Pelajar Doktor Falsafah Kejuruteraan Kimia ini juga percaya ‘Campus Election Committee’ (CEC) memberi peluang untuk beliau melonjakkan peranan diri sebagai pelajar yang bertangungjawab untuk memastikan Pilihan Raya Kampus akan diurus tadbir oleh pelajar dengan ketelusan yang maksima.

“Perancangan telah berjalan dengan baik dan sesi ‘Town Hall’ bersama pelajar-pelajar akan dilaksanakan pada 4 Oktober 2019 bagi UTM Kuala Lumpur dan  8 Oktober 2019 bagi UTM Johor Bahru.

Pencarian sekretariat pula akan diadakan bagi membantu kejayaan pengurusan CEC. Kesemua anggota CEC serta sekretariat juga dijangka akan bersama-sama mendapat pendedahan berkaitan proses pilihan raya bersama Suruhan Jaya Pilihan Raya (SPR) pada 19 Oktober 2019,” katanya lagi.

Naib Bendahari CEC, Leong Wan Yee

Turut melahirkan perasaan bangga kerana memperoleh peluang menganggotai CEC ialah Leong Wan Yee yang juga dilantik sebagai Naib Bendahari. Beliau berharap matlamat pilihan raya kali ini dapat dicapai dan pemilihan dijalankan dengan lancar sekali.

“Saya amat berharap pemilihan kali ini dapat melahirkan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) yang cemerlang seterusnya mengharumkan nama UTM sanjungan bangsa,”

Pelajar Sarjana Sains Komputer, Shahbaaz Mohammed Hayat Chaki berasal dari Mumbai, India

Salah seorang pelajar antarabangsa yang terpilih menganggotai CEC ialah pelajar tahun akhir  Sarjana Sains Komputer iaitu Shahbaaz Mohammed Hayat Chaki. Beliau yang berasal dari Mumbai, India berpendapat selain meraih pengalaman berharga, penglibatan dalam CEC juga bakal membentuk mereka menjadi pemimpin yang cemerlang.

 

Senarai Anggota Campus Election Committee (CEC),
Universiti Teknologi Malaysia 2019/2020

Presiden

Mohamad Fitri bin Mazlan

 

Naib Presiden (Pengurusan)

Nor Aqira binti Rosli

 

Naib Presiden (Teknikal)

Muhamad Shahiran bin Shaharani

 

Naib Presiden (KL)

Amir Ashraf b. Kamisan

 

Setiausaha

Maisarah binti Yuzlan

 

Naib Setiausaha

Nicholas Goh Kyai Earn

 

Bendahari
Jekan A/L Asokumaran

 

Naib Bendahari

Leong Wan Yee

 

Unit Perhubungan Luar & Strategi

Norfazliana binti Abdullah (HOD)

Mohamad Zaiful Zulhizman bin Mohd Zaney

Tan Yee Minh

Shahbaaz Mohammed Hayat Chaki

 

Unit Publisiti & Multimedia

Oscar Ling Fang Jack (HOD)

Nurul Nadiah binti Abdul Halim

Rai Naveed Arshad

 

Unit Logistik & Teknikal

Muhammad Izwan bin Awang Satiah (HOD)

Umar Alfaruq bin Abdul Mutalib

Nurul Ain binti Shaharudin

 

Unit Dokumentasi & Penerbitan

Nur Syahirah binti Hasbollah (HOD)

Mohamad Aizuddin Hafizi bin Hisham

Nurain binti Nijarali

Teh Shu Sin

Tan Sek Fook

Explore More