Disediakan oleh: Dr. Mohd Bakri Bakar dan Dr. Joazaizulfazli Jamalis

JOHOR BAHRU, 14 Sept. — Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan Institut Kimia Malaysia (IKM) Cawangan Selatan bersama Jabatan Kimia Malaysia Johor dan Jabatan Pendidikan Negeri Johor telah berjaya menganjurkan program Karnival Kimia Johor (K2J) bagi tahun 2019. K2J turut diadakan bersempena Tahun Antarabangsa Jadual Berkala Unsur Kimia yang telah diisytiharkan oleh UNESCO.

Program pada tahun ini diadakan bertempat di Dewan Kuliah, N24, UTM dan telah menerima penyertaan hampir seribu peserta daripada guru dan pelajar serta masyarakat sekitar. Bilangan tersebut merupakan penyertaan terbesar yang diterima sejak K2J dianjurkan buat pertama kalinya pada tahun 2011.

Pelbagai aktiviti yang menarik telah disediakan sepanjang karnival ini seperti syarahan Sains, demonstrasi kimia interaktif, pameran inovasi kimia, pertunjukan Sains serta pelbagai pertandingan yang melibatkan bidang Sains dan Kimia. Penganjuran K2J ini diharapkan  dapat memupuk minat dan pengetahuan pelajar terhadap Sains khususnya Kimia melalui kaedah pembelajaran yang menarik, kreatif dan pratikal.

Kaedah pembelajaran di luar kelas selain waktu pembelajaran rasmi seperti aktiviti K2J ini juga diharapkan dapat merangsang minda pelajar untuk terus meneroka bidang Sains Kimia.

Selain itu, satu seminar keselamatan makmal juga telah diadakan untuk memberikan pengetahuan dan kemahiran kepada guru dan pembantu makmal bagi persediaan melaksanakan amali Sains di sekolah. Manakala Anugerah Guru Kimia Inovatif Johor juga diberikan bertujuan menghargai dan menggalakkan guru Sains Kimia mengguna pakai kaedah inovatif sebagai teknik pengajaran dan pembelajaran mereka di sekolah.

Secara keseluruhannya, penganjuran K2J telah mencapai sasaran untuk memberikan pendedahan terhadap ilmu Sains Kimia, mempromosikan kesedaran dan keprihatinan semua segmen masyarakat terhadap terhadap Sains Kimia, mewujudkan budaya celik Sains, dan seterusnya mendorong minat pelajar untuk memilih bidang Sains khususnya Kimia sebagai kerjaya masa hadapan.

Majlis penutup K2J2019 telah disempurnakan oleh YB Cheo Yee How, ADUN Kawasan Perling yang juga merupakan alumni Jabatan Kimia, Fakulti Sains UTM. Majlis tersebut turut dihadiri oleh Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UTM, Prof. Datuk. Dr. Ahmad Fauzi Ismail; Presiden IKM, Datuk Dr. Soon Ting Kueh, Pengerusi Institut Kimia Malaysia (Cawangan Selatan), En. Soh Song Chaw dan Timbalan Dekan (Penyelidikan, Inovasi, Pembangunan dan Alumni) Fakulti Sains UTM, PM Dr. Zaiton Abdul Majid.

Semasa K2J juga, satu majlis menandatangani Memorandum Persefahaman antara UTM dan IKM turut dilaksanakan bagi mengukuhkan jalinan kerjasama kedua-dua organisasi dalam memajukan profesion kimia di Malaysia.