April 19, 2024

Search
Close this search box.

3,780 Pelajar Baharu Sesi 2019/2020 Bakal Menyambung Legasi Mahasiswa Cemerlang, Lestari Dan Holistik UTM

JOHOR BAHRU, 3 SEPT — Seramai 3,780 pelajar peringkat Sarjana Muda telah ditawarkan untuk melanjutkan pengajian di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) bagi sesi pengajian 2019/2020 bermula 8 September ini.

Dari jumlah itu seramai 698 orang merupakan pelajar antarabangsa dari pelbagai negara seperti Indonesia, Mesir, Yemen dan Libya termasuk juga mahasiswa sulung dari Switzerland dan Mauritius.

Mahasiswa-mahasiswa baru itu ditawarkan untuk mengikuti pengajian bagi 54 program pengajian pra siswazah di tujuh buah fakulti iaitu Fakulti Kejuruteraan, Fakulti Alam Bina & Ukur, Fakulti Sains, Fakulti Sains Sosial & Kemanusiaan, Sekolah Perniagaan Antarabangsa Azman Hashim, Institut Teknologi Antarabangsa Malaysia-Jepun (MJIIT) dan Fakulti Teknologi dan Informatik Razak.

Mahasiswa baharu ini akan mengikuti Program Minggu Mesra Mahasiswa (MMM) yang akan bermula dari 3 hingga 6 September 2019 untuk menyesuaikan diri mereka dengan kehidupan kampus.

Naib Canselor UTM, Datuk Prof Ir Dr Wahid bin Omar berkata, selaras dengan usaha Menteri Pendidikan untuk memperkasa potensi dan memberdayakan mahasiswa, perjalanan MMM ini ditunjangi sepenuhnya oleh pasukan pelajar yang diterajui oleh ahli Majlis Perwakilan Mahasiswa UTM iaitu Muhamad Iqbal Shapie dan Nur Maisarah Tahir.

Beliau berucap kepada wartawan semasa sesi sidang media sempena Hari Pendaftaran Pelajar Baru Sesi 2019/2020 di UTM kampus Johor Bahru.

“UTM terus berusaha memperkasakan pemberdayaan mahasiswa dalam menggarap segala pengalaman pembelajaran dan menjadi sebahagian dari ekosistem universiti,” kata beliau.

Program yang berkonsepkan pemantapan pengalaman mahasiswa dalam kampus (UTM Life-Changing Experience) ini merangkumi perasmian oleh Pro-Canselor, sesi ikrar mahasiswa, bersama ikon iaitu Pengarah Urusan Medini Iskandar Malaysia, Dr James Tee, Karnival Sukan dan Larian dan UTM Got Talent yang bakal menampilkan persembahan budaya dari pelbagai negara.

Menariknya pada MMM kali ini, mahasiswa ini akan dididik dan didedahkan dengan konsep minda lestari seperti proses pengasingan sampah, kempen membawa bekas makanan dan minuman sendiri di kafetaria serta tiada lagi disediakan bekas plastik di mana mereka akan didedahkan dengan konsep amalan kelestarian secara holistik.

“Di UTM, pendaftaran pelajar baharu bukan sekadar mendaftar pengajian semata-mata, sebaliknya akan turut melatih mahasiswanya dalam mengamalkan gaya hidup lestari memandangkan merekalah yang akan mencorakkan masa hadapan negara kelak.

Untuk itu sebuah program dipanggil myTREEvolution akan diadakan di mana mahasiswa ini akan diamanahkan dengan sebuah pokok yang akan mereka tanam sendiri dan perlu dijaga dari awal pendaftaran sehingga tamat pengajian,” tambah beliau.

Pokok tersebut akan diberi QR code khas untuk penjagaan di mana pelajar akan diberi merit untuk penjagaan pokok mereka semasa sepanjang pengajian di UTM dan pihak Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM) akan membantu dalam berkongsi pendidikan tentang penjagaan pokok.

Ia juga akan dimasukkan dalam laman web atau aplikasi yang dibangunkan oleh penyelidik UTM sendiri dan dipantau oleh pelajar yang bertanggungjawab atas pokok yang ditanam berdasarkan rekod laporan mereka.

Keseluruhannya Minggu Mesra Mahasiswa ini melibatkan seramai 347 sukarelawan pelajar terlatih yang bertungkus lumus menjadi pemudahcara sepanjang perjalanan program.

Sepanjang minggu terakhir sebelum program ini, UTM telah mengadakan pelbagai persediaan sempena menyambut pelajar baru seperti gotong royong secara besar-besaran di semua kolej kediaman pelajar sebagai persediaan meraikan kehadiran pelajar barunya, menyambut mereka di lapangan terbang dan stesen bas dan sebagainya.

Gotong-royong yang melibatkan seluruh warga kampus ini bukan sahaja merapatkan hubungan antara staf dan mahasiswanya malah juga berjaya menjimatkan perbelanjaan universiti bagi memastikan persekitaran yang bersih dan selesa.

Datuk Wahid menambah, UTM juga berusaha memberikan kemudahan yang terbaik kepada pelajar kerana sepanjang 2019, UTM telah membelanjakan hampir RM36.7 juta untuk membaikpulih bangunan fakulti dan asrama serta pelbagai infrastruktur lain bagi memastikan persekitaran yang lestari, kondusif, selamat dan sihat.

“Universiti meneruskan agenda UTMPrihatin dengan menyediakan pelbagai bantuan kebajikan kepada mahasiswanya seperti bantuan kewangan UTM endowmen, biasiswa, insurans pelajar, suspended meals, zakat, wakaf dan bantuan pinjaman jangka pendek.

UTM juga turut memberikan pengecualian yuran pengajian kepada 242 orang pelajar yang mendaftar ke UTM dengan keputusan cemerlang (PNGK4.00) semasa di peringkat diploma/matrikulasi dan STPM iaitu pengecualian yuran berjumlah dari RM550 sehingga RM700,” kata beliau.

Turut hadir adalah Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar), Prof. Dr. Durrishah Idrus, Ketua Operasi MMM, Muhamad Iqbal bin Shapie, Timbalan Ketua Operasi, Nur Maisarah Tahir, Presiden Majlis Perwakilan Mahasiswa, Muhammad Ikhmal bin Borhan serta Timbalannya, Muhammad Saifuddin bin Ahmad

Suasana pada hari pendaftaran

 

Naib Canselor UTM, Prof. Datuk Ir. Dr. Wahid Omar (paling kiri) sambil diiringi oleh Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar), Prof. Dr. Durrishah Idrus (dua kanan) melawat seorang mahasiswa baharu UTM sesi 2019/2020 di bilik asramanya.
Naib Canselor UTM, Prof. Datuk Ir. Dr. Wahid Omar (paling kiri) bermesra dengan keluarga mahasiswa baru UTM sesi 2019/2020 sewaktu pendaftaran pelajar.
Seorang mahasiswa baru UTM sesi 2019/2020 sedang melalui proses pendaftaran masuk ke asrama.

 

 

Explore More