April 26, 2024

Search
Close this search box.

JOHOR BAHRU, 28 Ogos — Seramai 287 orang mahasiswa kanan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) telah menjalani kursus pengurusan bagi menjadi krew dalam Minggu Mesra Mahasiswa (MMM) anjuran Jabatan Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar) universiti itu.

Program ini dijalankan selaras dengan minggu orientasi mahasiswa baru yang bakal berlangsung di universiti itu bermula September ini.

Penyelaras program, Mohd Iskandar bin Ishak berkata program dua hari yang berlangsung di Savanna Hill Resorts, Ulu Tiram itu dianjurkan dengan matlamat utamanya iaitu memupuk bakat kempimpinan di kalangan mahasiswa lama UTM dalam menangani bakal mahasiswa baru.

Mohd Iskandar bin Ishak, penyelaras program dari Bahagian Aktiviti dan Pembangunan Pelajar

“Ia juga dapat meningkatkan komunikasi peserta sebagai barisan hadapan dalam memberikan perkhidmatan kelas pertama kepada mahasiswa yang baru mendaftar dan juga ibubapa mereka.

Selain membentuk barisan hadapan yang cemerlang, kursus ini juga berupaya membina mahasiswa yang lasak dan dinamik dari segi fizikal, mental, emosi dan spiritual,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas majlis pembukaan kursus berkenaan yang disempurnakan oleh Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar), Prof. Dr. Durisshah Idrus di Savanna Hill Resorts, Ulu Tiram, Johor.

Menurutnya lagi, pertimbangan untuk diterima sebagai krew juga diberikan perhatian yang rapi oleh penganjur di mana formula yang digunakan adalah anggaran seorang krew akan bertanggungjawab ke atas 15 orang pelajar baru.

“Mahasiswa yang berminat juga dikehendaki untuk mengisi borang permohonan menjadi Krew 3M yang diiklankan pada bulan Mei 2019 lalu sebelum permohonan itu diproses oleh pihak HEP bagi memilih calon krew yang benar-benar menepati kriteria yang ditetapkan di samping memenuhi kouta yang telah ditetapkan,” katanya.

Sebanyak 502 permohonan telah diterima dan ditapis dengan hanya 325 orang telah berjaya dipilih. Walaubagaimanapun hanya 287 orang yang hadir kursus yang ditetapkan oleh HEP.

Iskandar berkata calon-calon krew 3M didedahkan dengan pelbagai perkara mengenai pendaftaran pelajar baru UTM sepanjang 2 hari berkursus.

“Antara perkara-perkara yang diberikan pendedahan adalah maklumat tentang pengurusan lojistik (pengangkutan, keselamatan & lalulintas, pengurusan makanan).

Peserta juga diberikan pendedahan berkenaan maklumat tentang pengurusan acara (Majlis-majlis Utama semasa 3M, Karnival Sukan dan Persembahan Kebudayaan) di samping taklimat Kaunter dan Simulasi Pendaftaran pelajar baru UTM,” katanya.

Calon-calon krew 3M juga didedahkan tentang Pengurusan Taklimat Fakulti dan Pendaftaran Kursus di samping dikehendaki melakukan Latihan Dalam Kumpulan (LDK) bagi mengukuhkan semangat kerajasama untuk bekerja sebagai satu pasukan yang mantap.

“Mereka juga diberikan taklimat pengenai Perancangan gerak kerja dan penyelarasan tugas krew di samping diwajibkan menjalani latihan simulasi bantuan kecemasan semasa 3M bagi memudahkan mereka memberikan bantuan kecemasan kepada mahasiswa baru semasa program orientasi dijalankan kelak,” katanya.

Krew 3M sedang menjalani kursus khas anjuran Jabatan TNC (HEP) sebelum menyertai program orientasi mahasiswa baru UTM sesi 2019/2020 yang bakal berlangsung September 2019

Explore More