JOHOR BAHRU, 26 Ogos 2019 – Satu Memorandum Persefahaman (MoU) telah ditandatangani antara Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan juga Universitas Islam Riau (UIR) dari Kepulauan Riau, Republik Indonesia bagi membolehkan kerjasama dalam bidang penyelidikan minyak dan gas dan juga komunikasi tanpa wayar.

Majlis menandatangani MoU berkenaan telah berlangsung di Dewan Sultan Iskandar, UTM Johor Bahru dengan UTM diwakili oleh Naib Canselornya, Prof. Datuk Ir. Dr. Wahid Omar manakala UIR pula diwakili oleh Rektornya, Prof. Dr. Syafrinaldi.

Turut hadir adalah Pengarah UTM-MPRC Institute for Oil and Gas, Prof. Dr. Rahmat Mohsin, Pengarah Wireless Communication Centre (WCC), Prof. Dr. Jafri Din dan juga Ketua Jabatan Petroleum UIR, Dr. Eng. Muslim Abdurrahman.

Bercakap dalam sidang media selepas menandatangani MoU berkenaan, Datuk Wahid berkata MoU ini adalah satu langkah untuk mempereratkan hubungan antara Malaysia dan Indonesia dalam lanskap pendidikan tinggi.

“Perjanjian persefahaman ini amat diberikan perhatian yang tinggi oleh UTM demi menggalakkan kerjasama antara pihak universiti dalam dan luar negara dalam pembangunan pendidikan, penyelidikan dan pembangunan serta latihan dalam bidang minyak dan gas serta komunikasi tanpa wayar.

Kolaborasi UIR dan UTM juga harus dilihat sebagai satu langkah yang berpotensi untuk kedua belah pihak dalam memperkasakan kolaborasi dalam aspek pembangunan pendidikan, Penyelidikan dan Pembangunan (R&D) dan juga penganjuran kursus yang bersesuaian dengan keperluan industri minyak dan gas mahupun pendidikan di UIR sendiri,” katanya.

Menurutnya lagi, peluang sebegini harus dimanfaatkan sebaik mungkin oleh UTM untuk menjalinkan hubungan kolaborasi dalam aspek-aspek akademik, R&D dan penerbitan demi meninggikan nama institusi itu dan menyediakan pendidikan berkualiti untuk rakyat Malaysia.

Prof. Wahid berkata melalui kerjasama yang dimaterai antara kedua-dua belah pihak ini membolehkan pihak UTM melalui UTM-MPRC Institute for Oil dan Gas menjalankan penyelidikan bersama dalam bidang bioethanol, polimer dan surfactant bagi menambahbaik aplikasi dalam industri minyak dan gas.

“Adalah diharapkan melalui perjanjian ini akan lebih menggiatkan lagi aktiviti yang akan dilaksanakan dan UTM sentiasa sedia untuk memberikan kerjasama bagi menjana inovasi terkini dalam penyelidikan bagi mewujudkan perkongsian pintar antara kedua pihak,” katanya lagi.

Sementara itu Pengarah UTM-MPRC, Prof. Rahmat Mohsin berkata perbincangan untuk kerjasama ini bertitik tolak dengan kunjungan pihaknya ke kampus UIR serta lawatan perbincangan dengan industri Minyak dan Gas di Pekan Baru, Riau, Indonesia pada 28 Februari 2019.

“Melalui sesi pertemuan inilah kedua-dua pihak telah mencapai kata sepakat bagi meneruskan kerjasama tersebut yang bukan sahaja melibatkan antara dua universiti malah juga pihak industri minyak dan gas di sana,” katanya lagi.

Menurutnya lagi, MoU ini adalah satu syarat dan pemudahcara bagi memperolehi dana penyelidikan Indonesia serta peluang bagi penyediaan kursus atau latihan yang bersesuaian pada industri minyak dan gas dan juga peluang untuk menjalani latihan industri di Indonesia.

“Atas kerjasama ini, pihak UIR telah berhasrat untuk menghantar pensyarahnya ke UTM bagi mengikuti pengajian peringkat Doktor Falsafah (PhD) dan pertukaran staf serta pelajar dalam usaha mengembangkan kerjasama dalam bidang akademik dan pembangunan staf mereka,”katanya.

Antara sokongan logistik yang bakal diperolehi kedua-dua pihak yang berkolaborasi adalah kelengkapan penyelidikan sumbangan pihak industri minyak dan gas di Pekan Baru, Riau yang terdiri daripada data, simulasi serta kelengkapan ujikaji dan aplikasi utama.

Dari kanan Ketua Jabatan Petroleum UIR, Dr. Eng. Muslim Abdurrahman, Rektor UIR, Prof. Dr. Syafrinaldi, Naib Canselor UTM, Prof. Datuk Ir. Dr. Wahid Omar dan Pengarah UTM-MPRC Institute for Oil and Gas, Prof. Dr. Rahmat Mohsin ketika sesi pertukaran dokumen MoU antara UTM dan UIR dalam majlis yang berlangsung di Dewan Sultan Iskandar, UTM Johor Bahru.