November 18, 2024

Search
Close this search box.

JOHOR BAHRU, 24 Jul. — Satu Surat Kerjasama (LoC) telah ditandatangani antara Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan juga Tsinghua University, China bagi membolehkan kerjasama antara kedua institusi dijalankan dalam bidang Remote Sensing.

Kedua-dua belah pihak telah pun mencapai persetujuan mengenai kerjasama ini yang akan dijalankan dalam tempoh lima tahun bermula 16 Oktober 2018 sehingga 15 Oktober 2023.

Penyelaras Projek (UTM), Prof. Dr. Kasturi Devi a/p Kanniah berkata kerjasama yang dijalankan adalah mengenai penyelidikan penggunaan teknologi Remote Sensing bagi mengkaji kesan penanaman kelapa sawit terhadap alam sekitar.

“Teknologi ini juga berfungsi untuk membuat pemetaan dan juga pemodelan mengenai penanaman kelapa sawit bagi membolehkan pemilik ladang menjalankan kerja-kerja pengurusan ladang dengan lebih cekap.

“Data yang diperolehi melalui kerja-kerja pemetaan dan pemodelan ini boleh digunakan oleh operator ladang-ladang berkenaan untuk mengagihkan kerja-kerja pembajaan dan pemetikan buah sawit dengan lebih sistematik di samping menggunakan tenaga kerja yang lebih optima,” katanya.

Prof. Kasturi selanjutnya menegaskan bahawa teknologi ini telah terbukti berkesan menerusi kerjasama dengan dua agensi berkaitan sebelum Universiti Tsinghua iaitu Malaysian Palm Oil Board (MPOB) dan juga Felda Global Venture (FGV), anak syarikat Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA).

Menyentuh mengenai latar belakang kerjasama ini, Prof. Kasturi berkata Tsinghua University dipilih disebabkan oleh kemudahan pembelajaran Remote Sensing yang baik di samping UTM yang mempunyai pakar dalam bidang ini.

UTM juga menurut Prof. Kasturi, menjalankan kolaborasi dengan Roundtable on Sustainable Palm Oil (RSPO) iaitu Badan Bukan Kerajaan (NGO) yang menggalakkan penanaman sawit tenpa menjejaskan keseimbangan alam sekitar.

“Hasil dapatan dan juga saranan RSPO ini, kami menjalankan kerjasama dengan Tsinghua University ini. Ini adalah disebabkan data yang diperolehi boleh juga digunakan dalam kerja-kerja pencegahan penyakit pada pokok melalui penggunaan racun perosak yang lebih maksima,” katanya.

Antara aktiviti yang telah dipersetujui adalah pertukaran hasil penyelidikan, lawatan ke fasiliti pembelajaran, pertukaran tenaga pengajar dan juga pelajar, penganjuran seminar dan forum secara bersama serta perkongsian hasil penerbitan antara kedua belah pihak.

Prof. Kasturi (paling kiri) mengadakan sesi perbincangan bersama Prof Cracknell (Profesor Eemiritus dari University of Dundee, UK) dan Prof Le Yu (Tsinghua University) berkenaan penggunaan teknologi Remote Sensing untuk mengkaji kesan penanaman sawit pada alam sekitar.
Prof. Kasturi (berselendang biru) bergambar bersama penyelidik dari Tsinghua University dan Prof. Emeritus UTM (Prof. Cracknell) (dua kanan) selepas membentangkan kertas kerja mengenai dapatan hasil penyelidikan penggunaan teknologi Remote Sensing bagi mengkaji kesan penanaman sawit di Malaysia.
Prof Kasturi sedang membentangkan dapatan hasil penyelidikan bertajuk ‘Research Outcome on oil palm biomass’ kepada sekumpulan penyelidik di Tsinghua University.

Explore More