Disember 3, 2024

Search
Close this search box.

Arah kiblat merupakan perkara penting di dalam melaksanakan sesuatu ibadah dalam Islam. Setiap umat Islam diwajibkan untuk menghadap ke arah kiblat yang benar iaitu ke arah Ka’bah ketika melaksanakan solat.

Oleh itu, setiap umat Islam haruslah mengetahui secara  tepat kedudukan kiblat mereka solat yang dilakukan sah serta diterima Allah. Sudah menjadi kewajipan kepada semua orang Islam untuk menanda arah kiblat yang benar dan tepat, terutama di rumah tempat tinggalnya.

Bagaimanapun masih ramai pemilik rumah yang masih tidak mengetahui kaedah penandaan arah kiblat yang tepat dan benar. Walaupun terdapat beberapa kaedah atau cara penandaan arah kiblat namun masih ramai yang tidak mengambil kisah mengenai urusan yang penting ini. Oleh yang demikian, kesedaran dan pendedahan secara berterusan kepada masyakarat harus dilakukan agar mereka dapat menanda arah kiblat yang betul dan sesuai di rumah masing-masing.

Menyedari permasalahan ini maka Kumpulan Penyelidikan Geomatics Innovation, Fakulti Alam Bina dan Ukur, Universiti Teknologi Malaysia telah melaksanakan “Bengkel Penghayatan Ilmu Falak dan Teknologi Penandaan Arah Kiblat: 1 Kiblat 1 Ummah” di Dewan Warisan, Politeknik Ungku Omar pada 9 dan 10 Julai 2019 yang lalu. Bengkel ini telah bermula sejak tahun 2016 yang mengkhususkan kepada masyarakat seperti guru-guru, ahli jawatankuasa masjid dan surau serta para pelajar sekolah menengah dan Institusi Pengajian Tinggi.

Program yang diadakan di Politeknik Ungku Omar ini merupakan program kali ke-5 dilaksanakan oleh pasukan Penyelidikan Geomatics Innovation FABU UTM. Seramai 22 orang peserta dari pelbagai latar belakang pendidikan telah menyertai bengkel ini. Penganjuran bengkel ini telah diketuai oleh Sr Dr. Othman bin Zainon dengan kerjasama Jabatan Mufti Negeri Perak, Politeknik Ungku Omar, Institut Tanah Negara dan Jabatan Ukur dan Pemetaan Negeri Perak. Para peserta diberi pendedahan secara hands-on kaedah penandaan arah kiblat melalui gabungan pelbagai teknik pembelajaran seperti bicara ilmu dan latihan praktikal.

Antara aktiviti yang dilaksanakan adalah bicara ilmu, penandaan arah kiblat kaedah tradisional dan demonstrasi penandaan arah kiblat kaedah moden. Semua aktiviti ini dikaitkan dengan kaedah penandaan arah kiblat yang boleh digunakan.

Majlis Penutup Program telah disempurnakan oleh Ustaz Mohd Faizal Bin Jani, Pegawai Bahagian Falak Jabatan Mufti Negeri Perak.

Secara keseluruhan, bengkel ini telah mencapai hasrat Pasukan Penyelidikan Geomatics Innovation UTM yang komited untuk berkongsi ilmu falak dan teknologi penandaan arah kiblat kepada masyarakat Islam di Malaysia.

Penganjuran program ini dapat memberi impak yang tinggi kepada masyarakat dalam memastikan tanda arah kiblat di kediaman mereka betul dan tepat agar segala amalan yang dilaksanakan menepati kehendak syariah Islam.

Untuk maklumat lanjut sila hubungi:

Sr Dr. Othman bin Zainon (othmanz.kl@utm.my)

Fakulti Alam Bina dan Ukur

Universiti Teknologi Malaysia

Explore More